Trend Micro merupakan salah satu syarikat yang terkenal dengan penawaran perisian sekuriti mereka, bukan sahaja untuk pengguna umum, tetapi juga untuk pengguna perusahaan. Dengan menjelang tahun baru, hari ini, pihak Trend Micro telah berkongsi sejumlah ramalan mereka dalam arena sekuriti – yang melibatkan pengguna persendirian dan juga pengguna perusahaan seluruh dunia.
Bercakap mengenai tahun 2016 kelak, Trend Micro meramalkan tujuh perkara yang bakal menjadi salah satu masalah sekuriti yang serius dan menjejaskan bukan sahaja perniagaan, tetapi juga pengguna perseorangan.
1. Peras-Ugut Atas-Talian Meningkat
Peras-ugut atas-talian merupakan salah satu perkara serius, malah penggunaan ransomware dan sebagainya telah sedia dibuat oleh pengodam seluruh dunia. Pada tahun ini sahaja, di Malaysia, pengguna perniagaan dan persendirian terjejas dengan masalah ini.
Setakat suku ketiga 2015 ini sahaja, di Malaysia menyaksikan lebih daripada 311 syarikat terjejas dengan ransomware, sementara lebih daripada 165 individu terjejas dengan masalah sama.
Kebiasaannya, melalui ransomware, pengguna atau perniagaan akan diperas-ugut dengan mengehadkan akses komputer atau peranti mereka – dan seterusnya meminta pengguna untuk membuat pembayaran supaya dapat membuang malware berkenaan. Sistem biasanya diserang menggunakan trojan yang dihantar melalui fail yang dimuat-turun – atau diserang melalui sistem rangkaian yang mempunyai kerentanannya.
2. Kerosakkan Peranti Pintar Boleh Membawa Bahaya Dan Maut Kepada Pengguna
Pada hari ini, peranti berhubung telah menjadi salah satu perkara yang biasa – malah peningkatannya dari hari ke hari adalah lebih pantas berbanding dengan pelbagai peranti lain di dunia.
Menjelang tahun 2019 kelak, ia dikatakan akan terdapat lebih kurang 2 bilion peranti berhubung – termasuk pada kenderaan, dron, pemantau rumah, pemantau bayi dan sebagainya.
Trend Micro mengatakan pada tahun 2016 kelak, kebarangkalian kerosakkan pada peranti pintar membawa kecederaan atau maut kepada pengguna akan meningkat – apatah lagi dengan pelbagai dron yang kini terbang diudara, dan lebih fokus terhadap arena robotik.
3. China Akan Memberikan Kesan Utama Dalam Peningkatan Malware
Pada hari ini, kebanyakkan peranti adalah hadir dari China, malah China mempunyai jumlah penduduk yang sangat tinggi di dunia. Bercakap mengenai malware, ia dikatakan 3 daripada 4 aplikasi dari China adalah malware – sekaligus memberikan kesan serius kepada pengguna peranti mudah-alih.
Di luar China, masalah ini mungkin tidak begitu serius, memandangkan kebanyakkan pengguna bergantung kepada kedai aplikasi rasmi seperti Google Play untuk mendapatkan aplikasi dan kandungan.
Pada masa yang sama, Trend Micro turut mengatakan sistem pembayaran mudah-alih generasi baru – seperti Apple Pay, Android Pay, Samsung Pay dan sebagainya turut mungkin turut menjadi salah satu serangan pengodam seluruh dunia.
4. Hacktivist Akan Menggunakan Pengodaman Data
Menurut Trend Micro, pada tahun 2016 kelak, industri akan melihat lebih banyak godaman yang dilakukan oleh hacktivist yang berbentuk godaman data yang memberikan kesan serius kepada sesuatu organisasi. Sebelum ini, salah satu godaman popular yang diperkatakan ramai adalah berkenaan dengan Sony Pictures – yang mana memberikan kesan serius kepada organisasi berkenaan.
Ini membawa kepada perubahan kaedah bagaimana hacktivist menyerang organsasi yang menjadi sasaran – berbanding sebelum ini yang lebih kepada hanya deface halaman web atau melakukan DDoS sahaja.
Godaman data ini juga secara tidak langsung memberikan kesan kepada data pengguna umum yang tersimpan pada sesuatu organisasi atau syarikat – sebagai contoh, godaman dan serangan terhadap Ashley Madison sebelum ini.
5. Kurang Daripada 50% Organisasi Akan Mempunyai Pegawai Pelindung Data
Dengan lebih ramai yang memfokuskan kepada arena perkomputeran dan atas-talian pada masa kini, organisasi akan mula menyedari kepentingan pegawai keselamatan data, dan permintaan untuk pegawai keselamatan data akan mula meningkat – tidak kira saiz syarikat atau organisasi.
Buat masa ini, kesedaran berkaitan dengannya masih rendah, malah organisasi – sebagai contoh berkaitan dengan kewangan yang masih tidak ketahui mengenai kepentingan pegawai keselamatan data ini dalam organisasi mereka.
6. Ad-blocking Akan Mengurangkan Masalah Malwaretisements
Sejak daripada tahun 2015 ini, kita telah melihat lebih ramai yang menyedari mengenai penggunaan ad-blocking yang menghalang paparan iklan pada web – sekaligus memberikan kesan terhadap pendapatan sesuatu penerbit web.
Walaubagaimanapun, dalam arena sekuriti, ini memberikan kesan positif terhadap pengurangan penggunaan malwaretising – dimana sebelum ini digunakan oleh beberapa pengodam untuk membuat serangan terhadap pengguna.
Ini akan membawa kepada kaedah baru serangan dilakukan – apatah lagi dengan arena pengiklanan atas-talian sendiri mencari kaedah pengiklanan baru, dan ini akan turut diikuti oleh pengodam.
7. Penggubalan Undang-Undang Berkaitan Siber Akan Mengambil Setapak Kehadapan
Dalam dua belas bulan akan datang, pihak Trend Micro menyasarkan pengubalan undang-undang akan mengambil langkah yang sepatutnya dalam usaha mengurangkan masalah berkaitan kesalahan siber berlaku.
Ini juga secara tidak langsung akan memberikan kesan positif dalam mengekang masalah siber, selain membolehkan pihak berkuasa menangkap pesalah siber dengan lebih cepat.
Undang-undang sedia ada berkaitan dunia siber juga dijangka akan diubah untuk menepati piawaian dan permintaan semasa – sekaligus meningkatkan lagi penawaran sekuriti kepada pengguna.