Pada tahun ini ZTE telah melancarkan pelbagai telefon pintar ke pasaran tempatan. Bermula dengan awal tahun dimana mereka telah memulakan penjualan ZTE Blade S6 disusuli dengan beberapa peranti lain dalam kelas permulaan dan pertengahan, pada September lalu mereka telah menawarkan peranti kelas tinggi untuk pasaran tempatan, iaitu ZTE Axon Elite yang hadir bukan sahaja dengan rekaan premium, malah kemasan seakan-akan kulit berjahit di badan belakang peranti ini.
Rekabentuk & Spesifikasi
ZTE Axon Elite | |
---|---|
Skrin | 5.5-inci FHD IPS LCD 401 ppi |
Pemproses | Snapdragon 810 2.0GHz Octa-core |
RAM | 3 GB DDR4 |
Muatan Dalaman | 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB) |
Kamera Utama | 20 Megapixel + 2 Megapixel |
Kamera Depan | 8 Megapixel |
Bateri | 3000 mAh (Dengan pengecasan pantas) |
SIM/Telefoni | Dwi NanoSIM / 4G |
NFC | Ya |
Fungsi Lain | Pengimbas Cap Jari, Pengimbas Mata |
Harga Jualan | RM 1999 |
Jika pada badan ZTE Blade S6 ia hadir dengan badan plastik namun kemasan ‘coating’ yang menjadikan perasaan memegangnya seakan-akan logam, pada badan ZTE Axon Elite ia mempunyai kemasan logam. Pada belakang telefon ini dibahagian atas dan bawah terdapat bahan pastik seakan kulit yang memberikan sedikit identiti unik pada peranti ini. Sekiranya anda pernah menaiki kereta Proton Iriz yang mempunyai kemasan jahitan kulit pada papan pemuka pemanduan, ia mempunyai kemasan seakannya. Di bahagian belakang telefon ini juga terdapat dua kamera yang berfungsi bagi menambah baik kualiti gambar yang dirakam. Ia mempunyai dua kamera dengan sensor pengimejan sebesar 13 Megapixel dan 2 Megapixel dengan fungsi autofokus. Terdapat juga dua lampu LED untuk fungsi pencahayaan serta pengimbas cap jari dibawah modul kamera.
Pada bahagian hadapan, ia dilengkapi dengan paparan skrin bersaiz 5.5-inci 1080p dan mempunyai kaca dengan bucu melengkung yang selalu digelar sebagai 2.5D. Salah satu perkara yang tampak menarik pada peranti ini adalah kekisi dan corak susunan pada pembesar suara dibahagian atas dan mikrofon pada bahagian bawah yang menampilkan bentuk segitiga. Elemen ini malah ditampilkan pada butang kuasa disebelah peranti ini dan juga latarbelakang antaramuka telefon ini. Kamera hadapan pada telefon ini pula mempunyai sensor pengimejan sebesar 8 Megapixel.
Dari segi spesifikasi, ZTE Axon Elite dilengkapi dengan komponen berspesifikasi tinggi. Ia dikuasakan dengan cip pemprosesan Snapdragon 810 2.0GHz lapan-teras, 3GB DRAM DDR4, dan mempunyai kapasiti storan sebesar 32GB dan boleh ditambah menerusi kad Mikro-SD dengan had maksima 128GB. Namun sekiranya pengguna ingin menambah kapasiti storan menerusi kad Mikro-SD, secara tidak langsung pengguna tidak memboleh menggunakan kad SIM kedua kerana talam kad SIM dan Mikro-SD berada pada talam yang sama. ZTE Axon Elite yang menyokong dua kad SIM dengan capaian rangkaian 4G LTE ini beroperasi menggunakan Android Lollipop dan mempunyai kapasiti bateri sebesar 3,000 mAh dengan fungsi pengecasan pantas.
Prestasi
Sepanjang tempoh percubaan singkat menggunakan peranti ini, peranti dengan spesifikasi tinggi ini dilihat beroperasi dengan lancar dan tidak kelihatan sebarang lengah masa. Bagi proses pengimbas cap jari, kelajuan pengimbasan boleh dikatakan tiada perbezaan ketara, tidak menunjukkan ia terlalu perlahan ataupun terlalu laju. Pengimbas cap jari ini boleh digunakan untuk menyahkunci peranti dan seperti beberapa peranti ZTE yang lain, peranti ini turut mempunyai fungsi Grand Eye, menyokong pengimbasan mata bagi menyahkunci peranti. Berkenaan fungsi Grand Eye, pengimbasan mata dilihat agak tepat, dan tiada sebarang masalah dalam menguji fungsi ini.
ZTE Axon turut membawakan beberapa fungsi seperti arahan suara yang boleh diberikan kepada peranti ini namun berdasarkan ujian kami, ia memerlukan pengguna bercakap dengan loghat barat. Ini sedikit berbeza daripada pengecaman suara yang terdapat pada Google Now, yang lebih mesra pengecaman suaranya dengan pengguna tempatan. Paparan antaramuka telefon ini kelihatan sedikit ‘terbelakang’, dimana rekaan ikonnya seolah-olah kebudak-budakan berbeza dengan pelbagai jenama lain yang mengikuti rentak ‘Flat UI’.
Bercakap mengenai kameranya, ia mempunyai paparan antaramuka yang sedikit berlainan dari peranti ZTE yang terdahulu. Salah satu fungsi yang dimiliki oleh peranti ini adalah rakaman gambar dengan latarbelakang yang kabur, menampilkan efek ‘Bokeh’. Malah pengguna boleh memilih fungsi ‘Bokeh’ terus dari paparan antaramukanya. Fungsi ini adalah berkat dari sensor pengimejan kedua di belakang kamera yang mengesan perbezaan jarak sesuatu objek. Ia juga mampu merakam video 4K 30fps namun telefon ini tidak menyatakan andainya ia mempunyai penstabil imej optikal (OIS). Selain dari itu kesan khas seperti Beautification turut wujud untuk merakam selfie.
Telefon pintar ZTE Axon Elite ini telah mula dijual di Malaysia pada harga RM 1,999 satu harga yang agak tinggi namun sesuai dengan kelasnya sebagai peranti yang mempunyai spesifikasi tinggi dan dengan badan logam serta kemasan premium.