Huawei pada tahun ini telah memperkenalkan Huawei Watch – yang membawakan rekaan premium dan elegan – serta lebih sesuai untuk pengguna lelaki berbanding wanita. Kini, untuk turut memenuhi permintaan pasaran wanita, laporan baru hadir mengatakan Huawei mungkin memperkenalkan Huawei Watch edisi wanita pada CES 2016 kelak.
Huawei Watch edisi wanita ini dikatakan akan membawakan rekaan tali jam tangan yang lebih feminin, selain menawarkan rekaan jam yang sedikit berbeza berbanding Huawei Watch. Huawei juga dikatakan akan hadir dengan rekaan muka jam yang baru kepada pengguna bersama-sama pengenalannya kelak.
Disamping itu, ia turut dikatakan Huawei Watch 2 generasi kedua akan hadir pada pertengahan kedua 2016 kelak – dan mungkin menyertakan sokongan selular.
Huawei pada tahun 2015 ini telah mencuri perhatian ramai dengan pelbagai rekaan peranti mereka yang lebih premium – selain turut hadir dengan peranti Nexus pertama mereka. Ini mungkin membuatkan ramai yang ternanti-nanti dengan penawaran mereka pada 2016 kelak.