Topi keledar motosikal sudah wujud sejak 1914. Ianya dicipta oleh Dr Eric Gardner yang berasal dari England. Beliau kerap melihat kecederaan teruk pada bahagian kepala penunggang motosikal yang terlibat di dalam kemalangan. Beliau kemudian mereka sebuah topi keledar yang diperbuat daripada kanvas dan shellac. Biasanya topi keledar dipasang dengan menyarungkannya dari atas kepala dan kemudian tali dagu dikunci bagi memastikan topi keledar tidak terpelanting dari kepala. Vozz RS 1.0 membawa perubahan cara pemakaian topi keledar kerana ia terbuka kepada dua.
Jadi apa kelebihan sistem topi keledar terbelah kepada dua ini berbanding rekaan biasa? Pertama sekali ia tidak memerlukan penunggang untuk mengunci tali dagu. Vozz menyedari ramai penunggang motosikal tidak selesa dengan tali yang bergesel dengan dagu dan mereka tidak memasangnya. Apabila kemalangan berlaku topi keledar terpelanting dan penunggang mengalami kecederaan teruk di kepala. Kedua rekaan Vozz RS 1.0 ini memudahkan kerja pekerja bantuan kecemasan menstabilkan kepada penunggang selepas kemalangan. Topi keledar biasa perlu ditarik keluar dan ini mungkin boleh menyebabkan kepala penunggang terpaksa digerakkan selepas kemalangan. Ini boleh menyebabkan kecederaan kepala dan tulang belakang menjadi semakin serius membawa kepada masalah lumpuh. Topi keledar ini boleh ditanggalkan kepada dua bahagian dengan mudah menggunakan pemutar skru. Tengkuk dan kepala mangsa kemalangan lebih mudah dapat distabilkan tanpa pergerakan yang banyak. Harga masih belum diumumkan kerana topi keledar ini hanya akan dilancarkan 23 Disember hadapan.