Carian
Perkhidmatan WhatsApp Dihalang Selama 48 Jam Di Brazil Atas Bantahan Syarikat Telekomunikasi
December 17, 2015 Effi Saharudin

Aplikasi pemesejan WhatsApp adalah sangat popular dengan jumlah pengguna mencecah 600 Juta. Aplikasi ini bukan sahaja membenarkan pengguna menghantar mesej malah mereka juga boleh melakukan panggilan telefon. Sejak menggunakan WhatsApp kami secara peribadi jarang sekali menggunakan khidmat pesanan ringkas dan menelefon ahli keluarga menggunakan aplikasi telefon. Ini adalah cara kami mengurangkan bayaran bil telefon bulanan sekaligus menyahut cabaran kerajaan untuk mengubah gaya hidup kerana kos semakin meningkat.

Whatsapp

Di Brazil perkhidmatan WhatsApp dihalang selama 48 jam bermula tengah malam hari ini atas arahan mahkamah. Ini dilakukan selepas mahkamah menerima injunksi dari sebuah syarikat telekomunikasi yang merasakan WhatsApp merugikan mereka kerana pelanggan tidak lagi melakukan panggilan telefon dan menghantar SMS. Pada pandangan syarikat telekomunikasi yang dirahsiakan namanya ini, pengguna seakan-akan melakukan aktiviti “cetak rompak” kerana menggunakan nombor dari syarikat mereka tetapi tidak menggunakan dua perkhidmatan tradisional yang ditawarkan. Halangan ini mendapat tentangan pengguna Brazil. Sebagai tanda protes pengguna Brazil berpindah pula kepada perkhidmatan Telegram bari mendapatkan fungsi yang sama seperti WhatsApp pada peranti mereka.
Diharap syarikat telekomunikasi di Malaysia tidak akan melatah seperti syarikat telekomunikasi Brazil. Di Malaysia mereka hanya menghentikan perkhidmatan internet tanpa had dan pengguna perlu membeli kuota baru selepas kuota asal habis digunakan. Dengan ini kerugian akibat tiada lagi panggilan telefon dan SMS dapat diatasi dengan pembelian kuota data.

Komen