Carian
Sembilan Penerima Geran Keusahawanan Sosial MaGIC Diumumkan
December 18, 2015 Ikhwan Nazri

Dalam pelbagai cabang bidang keusahawanan, salah satunya adalah ‘Keusahawanan Sosial’ (Social Entrepreneurship) dimana didalam aspek ini, syarikat yang berteraskan keusahawanan sosial merupakan syarikat yang memfokuskan untuk membangunkan sesuatu komuniti. Keuntungan yang diperoleh akan disalurkan semula untuk tujuan sosial dan komuniti, sekaligus menambah baik kualiti hidup dikalangan masyarakat tersebut.

Seperti yang pernah diceritakan oleh Skolafund dalam temuramah bersama kami beberapa bulan lalu, syarikat yang memfokuskan kepada keusahawanan sosial kebiasannya sukar untuk mendapatkan pelaburan kerana corak perniagaan mereka lebih kepada pembangunan komuniti dan sosial, dan bukan keuntungan semata-mata. MaGIC pada tahun lalu telah memberikan sejumlah RM 500,000 kepada 5 syarikat yang berteraskan keusahawanan sosial, dan dari jumlah tersebut, syarikat yang menerima geran ini telah berjaya membawa pulangan sebanyak RM 3.4 juta. Tahun ini mereka telah memilih 9 syarikat dan memberikan sejumlah RM 1.3 juta untuk syarikat tersebut melaksanakan misi syarikat mereka, dalam membangunkan komuniti yang dipelopori mereka.

●  The Truly Loving Company (TLC) – syarikat yang memasarkan kelengkapan pencuci rumah berjenama TLC dan majoriti keuntungannya disalurkan untuk kebajikan.
●  Lembah Bujang Ecopark – syarikat yang ingin membasmi kemiskinan di sekitar Lembah Bujang, Kedah, disamping pemuliharaan Sungai Merbok dan kawasan hutan paya bakau disekitarnya.
●  TBB Batik Boutique – Syarikat yang membangunkan kebajikan komuniti penenun batik.
●  Heart Treasures – Pertubuhan yang melatih warga kurang upaya seperti Autism, Sindrom Down, untuk menghasilkan produk cenderahati.
●  Tanoti – Syarikat ditubuhkan bagi menjaga kebajikan penenun kain dan songket di Sarawak.
●  Dialogue in the Dark -Syarikat ini mempunyai pejabat dan bilik khusus membolehkan pengguna merasai kehidupan seorang buta, dan orang buta akan membantu mereka dalam merasai pengalaman ini.
●  MangoChilli – jika syarikat mempunyai peruntukan untuk hiburan dan acara berkaitan yang memerlukan makanan, untuk setiap perbelanjaan tersebut, MangoChili yang juga merupakan restoran akan memberikan jumlah yang sama kepada kebajikan.
●  ANB Agro Trainers – Pertubuhan ini diwujudkan bagi memberikan kursus pertanian kepada golongan yang kurang berkemampuan.
●  Biji Biji Design – Syarikat ini memfokuskan kepada penggunaan semula barangan terbuang, dan dijadikan kepada sesuatu baru. Seperti contoh mereka mencipta beg dari bahan kain rentang.

Kesemua 9 penerima ini merupakan penerima yang telah disenaraipendek dari sejumlah 31 permohonan. Mereka dipilih berdasarkan proposal mereka yang jelas mempunyai potensi dalam merubah komuniti dan isu sosial yang dihadapi di negara ini. Mereka juga dilihat telah mempunyai syarikat yang berhasil dalam pembangunan komuniti, sekaligus melayakkan mereka untuk menerima geran ini.

Layari: MaGIC Social Entrepreneurship

Komen