Cari @ Amanz

DSC04565

Asus ZenPad 7.0 (Z370CG)
Chipset Intel Atom x3-C3230
CPU Empat-teras 64-bit 1.2GHz
GPU Mali-450MP4
Memori 2GB RAM
Storan 16GB, microSD sehingga 128GB
Kamera Utama 8MP auto-focus, f/2.0, rakaman 1080p
Kamera Hadapan 2MP, rakaman 720p
Skrin 7.0-inci IPS, 1280×800 piksel, 216 ppi
Sambungan HSDPA, WiFi, A-GPS, Bluetooth 4.0
Sistem Android 5.0 Lollipop dengan ZenUI
Bateri 3450 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 272g, 8.7mm


ASUS kini hadir dengan satu lagi tablet terbaru yang memfokuskan kepada rekaan elegan dan bergaya menerusi siri ZenPad. Pada tahun ini sahaja, ASUS telah melancarkan ZenPad C (dengan harga RM499) yang membawa rekaan elegan dengan ciri-ciri asas sebuah tablet pada harga mampu milik. Begitu juga dengan Zenpad 8, ia mengekalkan rekaan bergaya pada pakej peranti bersaiz sederhana bagi sebuah tablet.

Sebuah lagi model yang memfokuskan rekaan mewah dan elegan ini ialah ZenPad 7.0 yang membawakan rekaan yang ideal untuk pengguna yang gemar tablet bersaiz kecil. Mereka turut menggabungkan elemen fesyen di dalamnya, menjadikan ia sebuah peranti dengan rekaan berstail.

Dikuasakan dengan Intel Atom x3, ASUS turut membawakan fungsi telefoni pada tablet seperti yang hadir pada siri FonePad sebelum ini. Ia membolehkan pengguna membuat panggilan padanya disamping menawarkan sambungan data tanpa perlu bergantung pada WiFi. Secara kasarnya ia sebuah pakej yang menarik namun adakah ia berbaloi untuk anda? Ikuti ulasan ZenPad 7.0 (Z370CG) ini.

Rekabentuk

Saya suka bagaimana Asus menampilkan rekabentuk menawan pada peranti keluaran mereka – tidak kira dari komputer riba sehinggalah ke telefon dan tablet. Mereka amat mengutamakan rekaan mewah seperti mana yang hadir pada peranti keluarga Zenfone yang menampilkan tekstur ‘Zen’ di bawah skrin.

Siri Zenpad yang dikeluarkan ini masih mengekalkan rekaan yang elegan seperti peranti keluaran Asus pasa sebelumnya. Menerusi Zenpad 7.0, ia ditampilkan dengan rekaan kilauan cahaya pada bahagian tepi sekaligus menjadi daya tarikan pengguna apabila melihat peranti ini. Rekaan nipis turut diutamakan bagi memudahkan pengguna membawanya disamping mengutamakan rekaan yang kukuh dan selesa di tangan.

ZenPad 7 Combine

Saya suka dengan binaan hadapan peranti ini yang kelihatan minimal tanpa kehadiran sebarang butang kapasitif di bawah skrin. Bercakap mengenai skrin, ia hadir dengan skrin 7-inci Gorilla Glass 3 pada resolusi 1280×800. Melihat kandungan pada skrin IPS LCD ini dilihat amat terang namun dari segi darjah pandangan agak terhad. Hasilnya, melihat kandungan dari sudut berbeza mungkin sedikit sukar terutama menonoton filem bersama rakan-rakan anda yang lain. Dari segi piksel pula ia menampilkan 216 ppi yang mana anda mungkin dapat melihat piksel dari jarak dekat. Tetapi sekiranya anda menggunakannya dengan jarak yang normal, anda mungkin tidak perasan dengan kehadiran piksel pada skrin.

Rekaan belakang peranti ini menampilkan kemasan bertekstur kulit pada binaan berasaskan plastik. Ia boleh dibuka untuk penukaran aksesori seperti Power Case dan Audio Cover namun baterinya tidak boleh dikeluarkan. Pada bahagian belakang ini juga menempatkan slot microSD (sehingga 128GB) dan slot Micro-SIM untuk fungsi telefoni dan sambungan data.

Android 5.0 Lollipop dengan ASUS ZenUI

Asus ZenPad 7 ini menampilkan antaramuka ASUS ZenUI di atas Android 5.0 Lollipop. Saya suka dengan rekaan antaramuka ini yang mana kelihatan minimal terutama dari segi ikonografi. Ia tidak memaksa ikon aplikasi pihak ketiga untuk menggunakan bentuk yang sama seperti ikon aplikasi ASUS yang direka dalam bentuk petak.

ASUS Launcher dilihat berjaya menambat hati saya dari segi kustomasi dan penampilan antaramukanya. Kemas, teratur, dan tidak terlalu serabut adalah perkara yang saya suka mengenai launcher daripada ASUS ini. Keseluruhan aplikasi pada app drawer boleh disusun mengikut abjad ataupun mengikut kedudukan kesukaan anda. Ia juga menyokong pengkelasan folder automatik apabila anda membuat drag and drop di atas aplikasi yang sama jenis. Apa yang menarik lagi, ia turut menyokong icon pack luaran dari pihak ketiga seperti yang disokong pada Nova Launcher.

Asus ZenPad 7-launcher

Cuma apa yang saya kurang gemar adalah kehadiran banyak aplikasi bloatware sedikit sebanyak memenuhi app drawer dengan aplikasi yang jarang digunakan. Aplikasi seperti ini mungkin tidak memberi masalah selepas ‘dibuang’ di dalam folder namun dari segi background, ia sedikit sebanyak membebankan prestasi. Agak malang aplikasi terbina ini tidak kesemuanya boleh diuninstall (tanpa root) namun anda masih boleh menyaktifkannya (satu per satu).

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa aplikasi terbina ASUS seperti Kids Mode dilihat berguna dalam menampilkan antaramuka mesra kanak-kanak. Anda tidak perlu risau anak-anak anda mengakses ruangan Settings dan aplikasi lain kerana ia boleh dipantau dengan penggunaan kata laluan. Satu lagi fungsi yang dilihat berguna ialah Auto Start Manager yang mana mampu menyaktifkan aplikasi daripada dihidupkan ketika peranti dibuka.

Asus ZenPad 7-interface 3

Kamera

Fungsi kamera pada tablet bukanlah sesuatu fungsi yang diutamakan namun ia tetap akan digunakan ketika ketiadaan telefon di sisi anda. ASUS telah mendatangkan kamera 8-megapiksel pada ZenPad 7.0 ini yang mana menawarkan kualiti yang agak baik untuk penggambaran kasual. Warna yang dipersembahkan juga cerah yang mana tidak terlalu ‘saturated’ dan tidak terlalu kelam. Ketajaman gambar yang dihasilkan juga agak tajam setanding dengan peranti flagship keluaran mereka, ASUS Zenfone 2.

[amanz-gallery]

ASUS turut menawarkan beberapa fungsi tambahan seperti HDR, time lapse, dan slow motion yang menjadi fungsi asas kamera pada peranti masa kini. Fungsi kegemaran pengguna, beautification dilihat mampu memberi imej flawless pada wajah tanpa menggunakan aplikasi tambahan seperti Camera 360. Fungsi Depth of Field pula dilihat mampu memberi efek gambar DSLR yang mana akan mengkaburkan latar belakang di belakang objek. Paling menarik adalah fungsi Smart Remove yang mampu memadam objek yang tidak diingini pada gambar yang diambil.

Asus ZenPad 7-camera interface

Prestasi

Agak menarik apabila ASUS telah memilih cip generasi baru Intel Atom x3 (dengan nama kod SoFIA) untuk digunakan pada ZenPad 7.0 ini. Ia didatangkan dengan pemproses empat-teras 64-bit pada kadar kelajuan sehingga 1.2GHz. Ia dilihat berada pada cip kelas asas seperti Snapdragon 410 yang juga dijana dengan pemproses empat-teras 64-bit.

Pengalaman menggunakannya di dunia nyata, Atom x3 secara keseluruhannya mampu memberikan prestasi yang baik untuk penggunaan harian. Membuka aplikasi tidak memerlukan masa yang lama untuk digunakan apatah lagi memainkan permainan kasual. Memainkan video 1080p juga lancar tanpa sebarang masalah.

Cuma apabila memainkan permainan bergrafik intensif seperti Modern Combat 5, ia kurang memberi pengalaman yang sempurna apabila kadar frames per second (FPS) yang dicatatkan agak rendah. Pemproses grafik Mali 450-MP4 dilihat cemerlang untuk peranti dengan pemproses ARM namun untuk x86, ia masih perlu diberi pengoptimasian daripada pihak pembangun.

Memori 2GB RAM yang hadir bersama peranti ini dilihat memadai untuk mengurangkan masalah reload pada aplikasi. Membuat penukaran aplikasi ke aplikasi lain masih mengekalkan ‘state’ yang sama pada sebelumnya. Namun prestasi ketika multitasking, ia mengambil sedikit masa untuk aplikasi dipaparkan. Ia bukanlah sesuatu yang buruk namun ia memberi pengalaman yang menjengkelkan bagi pengguna yang gemar melakukan multitasking dengan kerap.

Audio

Kelantangan audio pada tablet seringkali menjadi keutamaan bagi pengguna yang gemar menggunakan tablet untuk tujuan media. ASUS menjalankan tugasan yang cemerlang untuk prestasi audio ZenPad 7.0 menerusi teknologi SonicMaster. Apabila memainkan muzik dan video, ia menawarkan kelantangan yang sangat kuat untuk pendegaran di dalam bilik. Secara peribadi, menikmati filem dengan loudspeaker diaktifkan sememangnya sangat memuaskan atas kelantangan audionya yang jelas dan nyata.

ASUS juga turut menawarkan aksesori Audio Cover (yang boleh dibeli secara berasingan) untuk meningkatkan lagi kelantangan audio yang lebih kuat. Menariknya, aksesori ini turut dijana dengan DTS-HD Premium Sound yang mampu memberikan penataan audio dengan 5.1 saluran. Ia dibekalkan dengan 6 pembesar suara bersama 1 subwoofer yang memberi peningkatkan kelantangan audio sehingga 6 kali ganda.

DSC04634

Bateri

Asus ZenPad 7-batterySaya sebelum ini pernah menggunakan Asus Fonepad (ME371MG) yang merupakan tablet Android generasi awal ASUS yang menggunakan Intel Atom. Pengalaman menggunakannya hampir setahun, saya amat berpuas hati dengan prestasi baterinya yang mampu menawarkan masa bertahan yang agak lama. Boleh dikatakan hampir dua hari sekiranya ia dibebankan dengan penggunaan sederhana. Prestasi screen on time (SOT) juga baik, menawarkan sekitar 4-5 jam untuk penggunaan sepanjang hari.

Menggunakan Asus Zenpad 7.0 ini juga turut menawarkan penggunaan bateri yang lebih kurang sama seperti tablet ASUS yang saya gunakan sebelum ini. Ia memberikan peningkatan sedikit ketara yang mana mampu memberikan SOT selama 5 jam 23 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Ia suatu bacaan yang baik kerana berada di atas 4 jam di atas bacaan SOT. Sekiranya prestasi bateri peranti ini tidak memuaskan anda, ASUS turut menawarkan aksesori Power Case (secara berasingan pada harga RM109) yang mampu meningkatkan penggunaan sehingga 14 jam.

ASUS turut menghadirkan fungsi Power Saver yang menawarkan Ultra-saving mode yang mampu meningkatkan lagi penawaran jangka hayat bateri dengan mematikan kemaskini aplikasi. Bermakna, sebarang aplikasi yang melibatkan IM seperti WhatsApp tidak dapat menerima notifikasi secara nyata sehinggalah aplikasi ini dibuka. Fungsi ini boleh dikatakan menyerupai fungsi Battery Saver terbina daripada Android 5.0 Lollipop, namun pada versi ASUS, ia tidak memaparkan bar oren dan menyahaktifkan sebarang animasi.

DSC04643

Rumusan

ASUS ZenPad 7.0 adalah harapan ASUS dalam membawa sebuah tablet dengan rekaan premium pada nilai yang berpatutan. Pemproses Intel Atom x3 dengan 2GB RAM dilihat menawarkan prestasi harian yang pantas disamping membawa jangka hayat bateri yang baik. Bukan itu sahaja, kamera 8-megapikselnya juga menghasilkan gambar yang sangat memuaskan walaupun mengambil gambar pada tablet bukanlah idea yang bijak untuk tujuan penggambaran.

ASUS ZenPad 7.0 juga dilihat masih meneruskan premis daripada Asus dengan menggabungkan fungsi telefoni pada sebuah peranti tablet. Ia meneruskan legasi FonePad sebelum ini dan ZenPad menambah nilai rekaan ‘premium’ padanya. Walaupun fungsi panggilan pada tablet agak kekok, ia masih dilihat berguna apatah lagi memudahkan pengguna melanggan plan internet tanpa mengalihkan kad sim pada telefon.

Asus FonePad 7 sideBercakap mengenai aksesori, saya juga suka dengan aksesori tambahan Asus yang menampilkan aksesori khas seperti Audio Cover yang memberikan kelantangan audio yang kuat dan lantang. Jujur saya katakan, saya agak terpukau dengan penghasilan audio dari aksesori ini seperti mana mendengar kualiti BoomSound daripada HTC. Power Case juga sebuah aksesori yang saya kira menarik yang mampu meningkatkan jangka hayat bateri dengan hanya menukar penutup pada bahagian belakang peranti.

Pro
  • Rekaan peranti direka dengan bergaya dan premium
  • Kamera 8MP dilihat baik untuk penggambaran kasual
  • Keupayaan bateri yang konsisten dan memadai untuk penggunaan harian
  • Menyokong aksesori khas seperti Audio Cover (RM249) dan Power Case (RM109)
Kontra
  • Prestasi multitasking masih terdapat lengah masa walaupun dijana dengan 2GB RAM
  • Sistem operasi dipenuhi dengan aplikasi bloatware
  • Tiada sokongan LTE


Cuma kekurangan peranti ini adalah dari segi kelancarannya yang kurang memuaskan pada aspek multitasking. Membuat penukaran dari aplikasi ke satu aplikasi dilihat mengambil sedikit masa yang tidak sepatutnya berlaku. Ia hadir dengan prestasi yang pantas ketika membuka aplikasi namun dari segi penukaran aplikasi multitasking, ia terganggu dengan masalah lengah masa.

Saya juga kurang gemar dengan kehadiran aplikasi bloatware yang memenuhi di dalam peranti ini yang agak memberi sumbangan pada masalah hiccup. Satu lagi kelemahan ialah ketiadaan sambungan LTE yang saya kira tidak sepatutnya berlaku pada peranti keluaran tahun ini. Rata-rata peranti berspesifikasi rendah seperti Xiaomi Redmi 2 (RM399) dan Samsung Galaxy J1 (RM399) juga hadir dengan sokongan LTE.

Keseluruhannya, Asus ZenPad 7.0 membawakan sebuah tablet dengan rekaan mewah pada pakej mampu milik. Menilai dari segi spesifikasi, fungsi, dan rekaan, ia amat berpatutan dengan harga tawarannya RM749. Gabungan Intel Atom X3 dan 2GB RAM mampu memberikan pengalaman yang baik untuk penggunaan harian apatah lagi rekaan yang yang amat menarik citarasa pengguna. Sekiranya anda inginkan sebuah tablet yang premium bersama sokongan telefoni dan data, ZenPad 7.0 ini sebuah pembelian berbaloi untuk anda.

ZenPad 7

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd