5 Sebab Mengapa Anak Anda Perlu Belajar Pengaturcaraan

5 Sebab Mengapa Anak Anda Perlu Belajar Pengaturcaraan

Diterbitkan pada Dis 21, 2015 oleh .

Artikel nukilan Syazwan Zamree, pengasas Keenobot – bongkah robot pendidikan yang membolehkan kanak-kanak membina robot dan mempelajari pengaturcaraan dengan cara yang lebih pintar. Layari : Keenobot.

Pengaturcaraan merupakan sebuah proses di mana manusia mengarahkan komputer atau apa-apa alat elektronik yang mempunyai mikroprosessor untuk melakukan sesuatu tugasan seperti membunyikan penggera, menggerakkan motor ataupun menyalakan lampu. Pengaturcaraan merupakan sebuah kecelikkan baru yang amat penting pada era digital ini, sama seperti kemahiran membaca, menulis dan mengira. Persoalannya, mengapa anak-anak anda perlu mempelajari kemahiran ini?

Pengaturcaraan

Membina kemahiran penyelesaian masalah dan berfikir secara logik

Pengaturcaraan komputer seringkali melibatkan penyelesaian masalah. Sebagai contoh, bagaimana anda hendak mengaturcara sebuah robot supaya ia dapat berjalan mengekori garisan yang telah dilukis di atas lantai? Kanak-kanak perlu menyelesaikan masalah tersebut dalam tertib yang logik dan proses ini secara langsung dapat membina kemahiran penyelesaian dan berfikir secara logik.

Memupuk empati dan penghargaan terhadap teknologi

Anak-anak kita sangat mahir menggunakan teknologi seperti telefon pintar, aplikasi Facebook dan juga bermain permainan video. Mereka pasti terkejut apabila mengetahui bahawa proses membina aplikasi dan permainan tersebut adalah rumit dan mencabar. Seperti mana kanak-kanak teruja untuk melihat bagaimana pizza kegemaran mereka dibuat, seperti itu jugalah mereka akan teruja apabila mengetahui bagaimana teknologi kegemaran mereka dibangunkan. Ini dapat memupuk empati agar mereka lebih menghargai teknologi yang merupakan hasil titik peluh dan usaha insan lain.

Membina sesuatu yang hebat dan bermanfaat

Mempelajari pengaturcaraan membolehkan kanak-kanak mencipta sesuatu yang hebat, yang barangkali kita tidak pernah terfikir pun sebagai seorang dewasa. Pelbagai perkara boleh dilakukan dengan mengaturcara komputer, seperti membina aplikasi laman web, permainan komputer ataupun membina sebuah robot. Anak-anak anda bukan sahaja dapat menjadi pengguna mahir teknologi, tetapi juga mampu menjadi pencipta teknologi yang dapat memberi manfaat kepada manusia lain.

Meningkatkan kemahiran berkomunikasi

Berbeza dengan kepercayaan umum bahawa pengaturcara komputer adalah seorang nerd, pengaturcaraan memerlukan setiap pengaturcara mempunyai kemahiran berkomunikasi yang sangat baik. Hal ini kerana kebanyakan applikasi yang dibangunkan merupakan sebuah kerja berkumpulan dan bukannya individu. Kerja berkumpulan sememangnya memerlukan para pengaturcara berinteraksi dengan cara yang berkesan.

Kerana ianya mudah

Ya, belajar pengaturcaraan adalah sangat mudah, dan percuma. Anak-anak anda tidak perlu menghadir kelas khusus ataupun kursus khas untuk mempelajari pengaturcaraan komputer, sebaliknya ianya boleh dilakukan di rumah. Sebagaimana mempelajari bahasa asing, ianya bukanlah perkara yang sukar dan mustahil. Bezanya, anak-anak kita belajar bahasa komputer untuk berinteraksi dengan komputer. Seperti juga mempelajari bahasa asing, ianya lebih baik dilakukan ketika muda. Terdapat pelbagai sumber yang boleh digunakan untuk mempelajari pengaturcaraan di rumah seperti SCRATCH, Hour of Code dan juga Keenobot.


1 BUKAN sebab untuk anak anda belajar pengaturcaraan:

Untuk menjadi pengaturcara

Satu-satunya bukan sebab untuk anak-anak mempelajari pengaturcaraan adalah untuk menjadi pengaturcara. Seorang pelajar muzik tidak semestinya belajar muzik untuk menjadi komposer, seseorang yang belajar menulis tidak semestinya mahu menjadi penulis novel dan begitu juga seorang yang belajar berlari tidak semestinya mahu menjadi Usain Bolt. Apa yang penting, dengan mempelajari pengaturcaraan, anak anda bakal memperoleh seribu satu manfaat walaupun tidak menjadi seorang pengaturcara komputer.

Baca : 5 Laman Untuk Mula Belajar Pengaturcaraan

Artikel nukilan Syazwan Zamree, pengasas Keenobot – bongkah robot pendidikan yang membolehkan kanak-kanak membina robot dan mempelajari pengaturcaraan dengan cara yang lebih pintar. Layari : Keenobot.


TIPS & ULASAN