Terdapat beberapa aplikasi yang memfokuskan kepada kemudahan pengurusan kewangan anda, dan salah satu yang agak popular dan ditawarkan untuk pelbagai platform adalah Toshl. Terkini, baru-baru ini mereka telah melancarkan Toshl Finance 2.0 untuk pengguna peranti iOS dan juga web.
Melalui Toshl 2.0, salah satu perubahan drastik yang paling besar adalah dari segi rekabentuknya yang kini lebih kemas dan memudahkan anda untuk melihat pelbagai perbelanjaan dan kedudukan kewangan anda. Mereka juga turut menyertakan beberapa paparan data yang baru – termasuk untuk melihat perbelanjaan bulanan, dan melihat belanjawan yang disesuaikan dengan pendapatan bulanan anda.
Sistem tag dan kategori yang lebih baik turut disertakan, dan kini anda boleh melihat perbelanjaan kewangan mengikut tag dan kategori dengan mudah melalui aplikasi iOS.
Pihak pembangunnya, mengatakan Toshl akan menawarkan versi Android dan kemaskini untuk platform lain pada pertengahan pertama 2016 kelak. Bagi pengguna iOS pula, anda boleh mengemaskini aplikasi Toshl hari ini dan menggunakannya dalam pengurusan kewangan anda.
- Muat-Turun Toshl Finance 2.0 untuk iOS