Bagi anda yang sering melayari web, mungkin pernah terjumpa kod ralat seperti 404 yang menandakan web tersebut tidak dapat diakses atau tiada lagi – ataupun kod 403 yang memperlihatkan akses dihalang. Terkini, sebuah kod ralat baru diimplementasikan penggunaannya, iaitu kod ralat 451.
Melalui kod ralat 451, ia membolehkan rangkaian memberikan amaran kepada pengguna sekiranya sesuatu web dihalang akses untuk dipaparkan disebabkan oleh perundangan. Ini sekaligus membolehkan pengguna mengetahui yang mana web yang cuba dilayari berkenaan dihalang akses disesuatu negara disebabkan melanggar atau tidak bersesuaian dengan perundangan negara berkenaan.
Walaubagaimanapun, ia turut ditekankan yang mana kod ini mungkin tidak diguna-pakai secara meluas memandangkan mungkin ada negara yang tidak ingin memaparkan mesej halangan secara terbuka dan mungkin menggunakan mesej seperti 403 atau 404.
Pada hari ini, beberapa web yang melanggar perundangan seperti laman web lucah atau laman muat-turun haram memaparkan mesej daripada SKMM. Mungkinkah kita akan melihat perubahan kepada paparan mesej 451 ini pada masa akan datang?