SpaceX Berjaya Melancarkan Roket Dan Mendaratkan Ia Kembali Di Bumi

SpaceX Berjaya Melancarkan Roket Dan Mendaratkan Ia Kembali Di Bumi

Diterbitkan pada Dis 23, 2015 oleh .

Dalam misi angkasa, salah satu perkara yang sering memakan kos yang tinggi adalah pelancaran roket – yang mana melibatkan kos membina sesuatu roket berkenaan, dan juga bahan api. Kebiasaannya, sesuatu roket hanya boleh digunakan untuk sekali misi sahaja – dan perkara ini membuatkan beberapa syarikat memfokuskan untuk hadir dengan roket yang boleh digunakan beberapa kali.

Falcon 9

Dalam usaha berkenaan, kini SpaceX yang diterajui oleh Elon Musk telah berjaya mendaratkan kembali roket yang telah dilancarkan mereka. Ini boleh dikatakan salah satu pencapaian yang besar – dan akan membawa kepada revolusi seterusnya dan memudahkan lagi projek eksplorasi angkasa.

Sebelum ini SpaceX telah beberapa kali mencuba usaha yang lebih kurang sama, tetapi gagal – dan mereka telah berjaya melakukannya pada minggu ini.

Mungkin ada yang beranggapan ini bukan suatu pencapaian yang besar – tetapi dalam arena aeroangkasa, ia sangat membantu, apatah lagi mengurangkan kos perjalanan ke angkasa, dan tidak perlu risau akan berkenaan kos membina roket baru seperti kebiasaan yang memakan jutaan ringgit untuk dibina.

Selepas ini, mungkin setiap eksplorasi atau misi angkasa hanya perlu risau akan kos bahan bakar sahaja – yang mana berkali ganda lebih murah berbanding pembinaan roket tersebut sendiri. Ini sekaligus membolehkan lebih banyak syarikat mengambil peluang dalam misi dan projek berkaitan eksplorasi angkasa.

Pendaratan roket kembali ini boleh dikatakan masih pada fasa awal – tetapi jika ia berjaya dilakukan berkali-kali, mungkin kita akan dapat melihat pelbagai misi angkasa yang lebih menarik, termasuk membolehkan misi untuk percutian angkasa direalisasikan pada kos lebih rendah.


TIPS & ULASAN