Carian
Beberapa Konsep Peranti Firefox OS Diperlihatkan – Termasuk Firefox Hub dan Firefox Pi
December 24, 2015 Aman

Mozilla telah membatalkan pengeluaran Firefox OS untuk telefon pintar sebelum ini, dan mengatakan mereka ingin lebih memfokuskan kepada pengeluaran produk peranti berhubung yang dijana sistem operasi Firefox OS. Lanjutan daripadanya, kini beberapa idea konsep untuk produk dijana Firefox OS hadir ke arena web.

Konsep Firefox OS

Daripada sebuah dokumen di web, ia dilihat empat peranti konsep berasaskan Firefox OS diperlihatkan, termasuk sebuah tablet, TV stick, penghala, dan juga sebuah papan kekunci berhubung. Segalanya berasaskan kepada Firefox OS – dan mungkin ramai sedia maklum akan pengenalan tablet dan juga TV stick sebelum ini.

Dua produk konsep baru yang kita melihat pada kali pertama ini adalah Firefox Hub dan juga Firefox Pi.

Firefox Hub merupakan sebuah penghala berhubung, dan boleh dilengkapi beberapa teknologi Mozilla lain, termasuk Firefox Firewall dan beberapa ciri-ciri keselamatan privasi lain dalam membolehkan pelayaran pengguna lebih selamat. Ia juga turut beroperasi sebagai sebuah server dalam rumah untuk para pengguna.

Konsep Firefox OS

Sementara Firefox Pi pula merupakan sebuah papan kekunci komputer yang dijana menggunakan Raspberry Pi. Ia dikatakan boleh hadir dengan Mozilla Webmaker, disamping boleh dihubungkan ke sebarang televisyen atau monitor dan mengubahnya menjadi sebuah komputer – disasarkan untuk pengguna di negara-negara membangun.

Konsep Firefox OS

Kedua-dua produk ini adalah dalam fasa konsep sahaja, dan tidak diketahui sama ada Mozilla sedang membangunkannya ataupun tidak.

Apa pun, boleh dikatakan yang mana pihak Mozilla mempunyai visi mereka tersendiri dalam Firefox OS – dan mungkin kita akan melihat perkembangan positif Mozilla pada tahun-tahun akan datang.

Komen