LG Bakal Memperkenalkan webOS 3.0 Untuk Televisyen Pada CES 2016
LG

LG Bakal Memperkenalkan webOS 3.0 Untuk Televisyen Pada CES 2016

Diterbitkan pada Dis 25, 2015 oleh .

Dengan tahun 2016 menjelang tiba, salah satu acara yang dinantikan ramai adalah CES 2016 yang bakal memperlihatkan pengumuman pelbagai produk elektronik baru untuk pengguna. Pihak LG telah beberapa kali hadir ke acara berkenaan sebelum ini, dan pada CES 2016 kelak, mereka akan memperkenalkan televisyen pintar baru mereka menjalankan webOS 3.0.

webOS 3.0

Perjalanan sistem operasi webOS sendiri agak menarik. Ia telah dibangunkan oleh Palm untuk telefon pintar mereka, dan ketika itu ia adalah antara sistem operasi yang sangat cantik dan mesra pengguna. Namun, Palm tidak berjaya mencuri pasaran, dan terpaksa menjual syarikat mereka kepada HP. HP hanya mengeluarkan TouchPad sahaja menggunakan webOS, sebelum sistem operasi berkenaan dijual kepada pihak LG.

LG menggunakan webOS, bukan sahaja pada televisyen tetapi juga pada jam tangan pintar mereka.

Melalui webOS 3.0 kelak, LG akan menyertakan beberapa fungsi tambahan, seperti Magic Zoom yang membolehkan pengguna zoom ke sesuatu paparan. Sementara satu lagi fungsi baru yang akan disertakan adalah Magic Mobile Connection yang membolehkan pengguna menghubungkan peranti ke skrin televisyen, dan menjalankan aplikasi mudah-alih pada kaca televisyen.

LG juga menekankan mereka akan memfokuskan lebih kepada pilihan kandungan melalui platform operasi webOS 3.0 ini kelak.

LG telah memperkenalkan televisyen pintar mereka menggunakan webOS pada tahun 2014 yang lepas, dan ia dilihat akan terus berkembang dengan sihat untuk tahun-tahun akan datang. Televisyen LG menggunakan sistem operasi webOS juga turut telah ditawarkan di Malaysia sebelum ini.


TIPS & ULASAN