Cari @ Amanz

Oppo R7 lite
Chipset Qualcomm MSM8939 Snapdragon 615
CPU 1.5 GHz Cortex-A53 empat-teras
1.0 GHz Cortex-A53 empat-teras
GPU Adreno 405
Memori 2GB RAM
Storan 16GB, microSD sehingga 128GB
Kamera Utama 13MP auto-focus, f/2.0, rakaman 1080p
Kamera Hadapan 8MP, rakaman 720p
Skrin 5.0-inci IPS, 1280×720 piksel, 294 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi, A-GPS, Bluetooth 4.0
Sistem Color OS 2.1 berasaskan Android 5.1 Lollipop
Bateri 2320 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 147g, 6.3mm

Pada tahun lepas, Oppo telah membuka mata dunia melalui Oppo R5 iaitu telefon dengan rekaan paling nipis pada ketika itu dengan ketebalan hanya 4.9mm. Tahun ini Oppo telah mengeluarkan Oppo R7 bagi meneruskan legasi Oppo R5 dengan rekaan nipis dan unik. Ia kini hadir dengan rekaan senipis 6.3mm dan kameranya tidak lagi tersembul keluar seperti R5 sebelum ini. R7 juga telah membawa kembali sambungan earphone jack 3.5mm, jadi pengguna tidak perlu lagi bergantung kepada sebarang penyambung tambahan.

Seperti sudah menjadi trend, pengeluar sering menghadirkan versi lite bagi flagship mereka dalam menawarkan harga yang lebih murah dengan spesifikasi yang sedikit dikurangkan. Kita lihat pada pengeluar lain, peranti versi lite sering menjadi taruhan pengeluar dalam membayangi flagship keluaran mereka. HTC One E9+ boleh dikira sebagai peranti versi “lite” yang menawarkan fungsi seperti flagship (One M9+) dengan sedikit perubahan daripada fungsi, bahan binaan, dan rekabentuk.

Oppo R7 lite adalah jawapan Oppo untuk menawarkan pengalaman seumpama flagship terbaru mereka. Menariknya, ia dibina dengan rekabentuk yang sama seperti R7 dari segi saiz skrin, kedudukan butang, ketebalan, dan berat peranti. Akan tetapi, mampukah peranti ini membawa pengalaman seumpama Oppo R7?

Rekabentuk

Perkara pertama yang akan menarik anda tentang peranti ini adalah kenipisannya hanya 6.3mm. Ia lebih nipis berbanding iPhone 6 yang mempunyai ketebalan 6.9mm. Rekaan berteraskan “linenism” pada bahagian tepi R7 lite cukup menarik perhatian dengan kilauannya yang mengikut pergerakan bayang dan cahaya. Binaan utamanya diperbuat daripada magnesium alluminium alloy, jadi tidak hairanlah ia seberat 147g. Bagi saya binaannya agak seimbang, tidak terlalu ringan dan tidak terlalu berat. Ia juga sangat kukuh dan selesa untuk dipegang namun binaan belakangnya agak licin sedikit. Saya difahamkan binaan R7 lite telah melalui 48 proses kemasan binaan, jadi ia kelihatan mewah dan bergaya.

Combine Oppo R7 Lite 3

Menggunakan peranti ini, saya berasa agak canggung dengan kedudukan butang kuasa yang berada di bahagian kiri peranti. Jujurnya, saya sering kali menekan butang pelarasan suara secara tidak sengaja untuk menyahaktifkan peranti kerana sudah terbiasa pada peranti lain. Di bawah butang pelarasan suara terdapat slot dual-sim yang merupakan ruang sim keduanya menyokong kad microSD sehingga 128GB. Di bahagian atas pula terdapat lubang earphone jack 3.5mm dan di bahagian bawah, terdapat sambungan Micro USB 2.0 untuk pengecasan dan sambungan data. Satu perkara yang menjadi kekurangan adalah ketiadaan NFC yang mungkin menyukarkan sesetengah pengguna untuk menyambung peranti NFC. Namun saya kira ia tidak menjadi masalah yang besar kepada majoriti pengguna.

Skrin

Oppo R7 lite hadir dengan Gorilla Glass 3 sebagai perlindungan utama kepada skrin peranti ini. Yang menariknya, ia hadir dengan kaca sisi melengkung 2.5D yang menjadi daya tarikan utama peranti. Berbanding dengan R7 versi asal yang menggunakan skrin 1080p, R7 lite hanya hadir dengan skrin 720p yang juga pada saiz skrin sebesar 5-inci. Skrin beresolusi rendah menjadikan piksel skrin berkurang menjadi 294PPI tetapi dilihat masih baik atas penggunaan skrin AMOLED. Darjah pandangannya juga agak luas yang boleh dilihat dari mana-mana kedudukan.

Oppo R7 lite-04222

Namun peranti dengan bezel skrin nipis bersama rekaan nipis ini agak sedikit menyukarkan proses penaipan. Tapak tangan saya sering kali tertekan butang lain tanpa sengaja sekaligus mengundang typo yang agak parah. Perkara ini tidak berlaku pada R7 lite ini sahaja malah berlaku pada peranti dengan bezel dan rekaan nipis seperti Oppo R1 sebelum ini.

Color OS 2.1 berasaskan Android 5.1.1 Lollipop

Oppo R7 lite dijana dengan Color OS 2.1, yang menariknya, ia berasaskan Android 5.1.1 Lollipop. Tidak seperti Oppo R7, Color OS yang didatangkan hanya berasaskan versi Android 4.4 KitKat. Kecantikannya dilihat memukau berbanding dengan antaramuka lain. Ia sebuah antaramuka yang sangat cantik, mudah untuk dikustomasi, dan tidak memberikan masalah yang serius pada prestasi.

Satu ciri yang saya suka mengenai Color OS adalah kehadiran fungsi gesture yang mampu melancarkan aplikasi ketika skrin sedang dibuka atau ditutup. Tetapan gesture yang hadir juga boleh ditukar oleh pengguna, jadi anda boleh menetapkan gesture tertentu untuk membuka sesuatu aplikasi. Seperti contoh, sekiranya saya menyeretkan jari ke atas, saya boleh membuka aplikasi Instagram dengan serta-merta. Ketika skrin dibuka, saya boleh mengambil screenshot dengan hanya menyeretkan tiga jari pada skrin. Begitu juga dengan gesture menyeretkan dua jari ke atas dan ke bawah, ia membolehkan anda melaraskan pembesar suara tanpa perlu menekan butang fizikal.

Oppo R7 lite S1

Fungsi single-hand mode juga hadir bagi memudahkan anda menggunakan peranti pada sebelah tangan. Untuk mengaktifkannya, seret jari dari bahagian bawah bucu skrin ke kiri untuk menggunakannya pada sebelah kanan. Untuk kegunaan sebelah kiri, seret jari dari bahagian bawah bucu skrin ke kanan atas. Untuk menyahaktifkannya, tekan pada butang di atas skrin.

Pada bahagian kustomasi, Color OS didatangkan dengan sokongan tema dan wallpaper yang boleh dimuat-turun, jadi anda tidak terikat dengan antaramuka yang didatangkan secara terbina. Pilihan temanya juga meluas, menampilkan pilihan tema yang dimuat-naik dari pengguna. Seperti kebanyakan antaramuka Android lain, anda juga boleh mengubah kesan animasi pada launcher disamping kebolehan untuk menukar lockscreen wallpaper.

Oppo R7 lite S2

Kamera

Oppo R7 lite-Camera 2

Kamera 13MP dengan optik Schneider-Kreuznach yang didatangkan pada peranti ini dilihat beraksi dengan cemerlang apabila berjaya menghasilkan gambar yang terang dan jitu. Ia dibina berasaskan sensor Samsung CM2 dengan aperture f/2.0 bagi menghasilkan pencahayaan gambar yang baik. Saya telah mencuba menggunakan kamera peranti ini pada beberapa situasi seperti indoor dan lokasi kurang cahaya dan hasilnya, ia tidak memberikan kesan noise yang ketara. Penggambaran outdoor dan waktu siang memberikan hasil gambar yang menyerlah dengan pencahayaan amat baik. Keupayaan autofokusnya juga cemerlang yang didorong oleh teknologi ISOCELL yang beroperasi dengan pantas dan stabil.

Saya juga suka dengan kamera hadapan 8MP peranti ini yang memberikan impak wajah yang terang dengan tona kulit yang cerah (flawless) melalui bantuan fungsi Beautify 3.0. Penggambaran selfie pada waktu siang dilihat baik dengan kulit wajah yang terang dan bercahaya. Penggambaran selfie pada waktu malam pula memberikan kesan noise yang sedikit ketara pada wajah.

[amanz-gallery]

Fungsi kameranya juga padat dengan beberapa perkara menarik seperti fungsi Ultra HD yang mampu mengambil gambar pada resolusi 50-megapiksel dengan teknologi Pure Image 2.0+. Fungsi HDR dilihat dapat membantu untuk meningkatkan lagi warna dan kejelasan imej melalui kombinasi gambar yang diambil. Fungsi Burst Shot pula mampu mengambil gambar sehingga 30 imej tanpa sebarang masalah. Sekiranya anda menginginkan lagi fungsi tambahan pada kamera, Oppo juga menawarkan fungsi seperti Expert Mode, Super Macro, Double Exposure, dan rakaman RAW yang boleh dimuat-turun secara berasingan.

Oppo R7 lite-Camera

Fungsi videonya dilihat agak biasa yang hanya mampu merakam video setinggi 1080p pada kadar 30fps tanpa sokongan OIS. Namun begitu, fungsi timelapse dan slow motion pada rakaman video masih terdapat pada peranti ini sebagai penarik rakaman video anda.

Audio

Oppo R7 lite-04234

Bercakap mengenai audio, kelantangan bunyi Oppo R7 boleh diberi satu pujian atas bunyinya yang agak kuat. Bunyinya juga begitu mapan dan jitu, seperti hasilan bunyi akustik gitar yang bunyinya agak tajam. Begitu juga dengan bunyi jam loceng, kekuatan bunyinya pasti membuatkan anda tidak mahu tidur semula. Cuma satu perkara yang saya kurang suka, lokasi pembesar suaranya yang terletak di bahagian belakang peranti akan menyebabkan bunyi tidak begitu didengari ketika diletakkan di atas permukaan rata. Begitu juga ketika diletakkan di dalam poket seluar, bunyinya kedengaran kurang jelas apabila anda berada di luar. Mungkin lebih elok sekiranya ia diletakkan di bahagian bawah atau hadapan peranti.

Prestasi

Spesifikasi R7 lite telah dikurangkan kepada 2GB RAM berbanding 3GB RAM pada Oppo R7. Namun dari segi kelajuan dan prestasi, ia masih beroperasi dengan pantas terutama dari segi pembukaan aplikasi. Dari segi multitasking juga pantas dan kebanyakan aplikasi tidak reload apabila membuat penukaran aplikasi.

Oppo R7 lite-04225

Kecemerlangan prestasi R7 lite turut sama didorong dengan cip Snapdragon 615 yang sama seperti di R7 dan R7 Plus. Penggunaaan pemproses berasaskan cip lapan-teras Cortex-A53 ini telah dipecahkan kepada dua bahagian iaitu empat-teras 1.0GHz dan empat-teras 1.5GHz. Teknologi disebalik penggunaan rekaan ini dikenali sebagai big.LITTLE yang membahagikan teras mengikut kluster tenaga rendah dan pantas untuk tugasan spesifik. Seperti contoh, ketika memainkan permainan, kluster empat-teras 1.5GHz digunakan dengan menyeluruh berbanding kluster empat-teras 1.0GHz. Dengan rekaan sebegini, ia membolehkan salah satu kluster teras digunakan mengikut tugasan tanpa perlu membebankan prestasi bateri.

Bercakap mengenai prestasi permainan, cip Snapdragon 615 didatangkan dengan pemproses grafik asas Adreno 405. Prestasinya cukup dipuji kerana mampu memainkan permainan seperti Modern Combat 5 dengan lancar tanpa sebarang masalah prestasi. Permainan seperti Asphalt 8 dan Dead Trigger juga beraksi dengan cemerlang dengan bacaan frames per second (FPS) yang agak tinggi.

Bateri

Satu perkara yang sering menjadi persoalan utama apabila bercakap mengenai peranti nipis adalah prestasi jangka hayat bateri. Dengan rekaan senipis 6.3mm, ia agak sukar untuk menggunakan bateri yang besar seperti yang terdapat pada Xperia Z3. Menariknya, bateri sebesar 2320 mAh pada R7 lite ini beroperasi agak baik dengan screen on time (SOT) selama 4 jam 9 minit untuk penggunaan sepanjang hari.

Oppo R7 lite-04287

R7 lite turut hadir dengan fungsi pengecasan VOOC sama seperti yang terdapat pada flagship R7 dan R7 Plus. Teknologi pengecasan pantas daripada Oppo dilihat paling pantas setakat ini meninggalkan teknologi Qualcomm Quick Charge. Pada R7 lite, fungsi pengecasan pantas VOOC dilihat mampu mencapai sekitar 75% dalam jangka masa hanya 30 minit. Dengan pengecasan selama 5 minit pula mampu mencapai sehingga 2 jam panggilan.

Rumusan

Oppo R7 lite-04236-vert

Oppo R7 lite dilihat masih meneruskan kegemilangan peranti R7 yang asal walaupun terdapat kekurangan dari segi spesifikasi. Kehadiran 2GB RAM berbanding 3GB RAM pada R7 dilihat tidak memberi sebarang masalah yang serius apabila melakukan multitasking. Skrin 720p pada R7 lite berbanding 1080p pada R7 biasa juga tidak memberi perubahan yang ketara atas kualitinya yang masih baik daripada pandangan mata. Teknologi skrin AMOLED banyak membantu di sini.

Namun sebenarnya agak sukar untuk menghargai Oppo R7 lite apabila melihat harga jualan yang disyorkan adalah pada harga RM1298. Tetapi selepas memegang dan menggunakan peranti ini, saya mula menghargai keseluruhan binaan, baik dari segi rekaan mahupun fungsi yang didatangkan. Rekaan ‘razor thin’ senipis 6.9mm begitu menawan dan binaannya juga sangat kukuh di tangan saya. Kombinasi Snapdragon 615 bersama 2GB RAM juga begitu lancar sehinggakan sukar untuk melihat sebarang masalah lengah masa.

Cuma perkara yang menjadi kelemahan mengenai peranti ini, ia cepat mudah terasa panas apabila anda menggunakan peranti ini dengan tugasan yang berat. Daripada memainkan video, melayari web, dan memainkan permainan, haba yang dikeluarkan tidak begitu selesa di tangan. Fungsi NFC juga tiada pada peranti ini, sedikit sebanyak menyukarkan saya menyambung dengan peranti boleh pakai seperti Sony SmartBand. Namun tidak ramai yang menggunakan NFC ini, jadi ia dilihat bukanlah sesuatu kekurangan yang masalah besar bagi peranti ini.

Pro
  • Penggunaan skrin AMOLED memberikan hasil paparan yang terang dan jitu
  • Prestasi kamera belakang mesra dengan keadaan kurang cahaya
  • Rekaan dan binaan yang kukuh
  • Prestasi lancar untuk penggunaan harian dan permainan
  • Fungsi pengecasan pantas VOOC mampu mencapai 75% dalam masa 30 minit
Kontra
  • Haba di bahagian belakang peranti cepat panas
  • Bahagian belakang peranti agak licin
  • Tahap kenipisan peranti dan bezel yang nipis menyukarkan sedikit proses penaipan
  • Lokasi pembesar suara di belakang peranti sedikit sebanyak melenyapkan bunyi ketika di dalam poket seluar
  • Tiada sokongan NFC

Kesuluruhannya, Oppo R7 lite menjanjikan pengalaman dan alternatif terbaik Oppo R7 walaupun dikurangkan spesifikasinya kepada skrin 720p dan 2GB RAM. Rekabentuk, cip pemprosesan, dan saiz skrin masih sama seperti R7, cuma ia didatangkan dengan pakej harga yang lebih murah. Ia juga sebuah peranti versi lite yang mempunyai taraf rekaan yang sama seperti flagship Oppo R7 tanpa dikurangkan walau satu aspek binaan.

Skor Amanz 2015 - Markah Oppo R7 Lite
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd