Cari @ Amanz

Raspberry Pi telah menetapkan sebuah trend baru dalam mengalakkan pembangunan pelbagai projek-projek menarik menggunakan papan perkomputeran mini mereka. Terkini, salah satu alternatif menarik yang hadir dan dalam fasa pengumpulan dana jualan adalah Pine A64.

Pine A64

Pine A64 hadir dengan pemprosesan ARMv8 Cortex-A53, dan hadir dengan grafik Mali 400 MP2. Disamping itu, ia turut menyertakan sokongan sehingga 2GB RAM (model asas dengan 512MB RAM), ruangan slot mikro-SD, dan turut menyertakan port untuk USB 2.0 dan juga HDMI 1.4.

Dengan kuasa pemprosesan tinggi, ia menawarkan kebolehan untuk pengguna membangunkan lebih banyak projek-projek menarik, termasuk menyokong sehingga output pada resolusi 4K.

Menggunakan Pine 64 ini, pengguna boleh membuat pelbagai projek-projek robotik menarik, disamping turut menggunakannya untuk mengubahnya menjadi komputer, mengubah televisyen anda menjadi televisyen pintar, hadir dengan konsol retro, dan beberapa projek yang lain. Seperti Raspberry Pi, beberapa sistem operasi Linux turut disokong, selain pemain media Kodi mahupun sistem operasi Android.

Pine A64 ini boleh ditempah melalui laman KickStarter pada harga bermula $15 (~RM64) dan pihak pembangunnya turut menawarkan penghantaran ke seluruh dunia (pada kos tambahan). Beberapa modul tambahan untuk Pine A64 turut disediakan dan boleh dibeli pengguna.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd