Cari @ Amanz

Xiaomi pada tahun ini telah hadir dengan beberapa peranti baru yang menarik perhatian ramai pengguna, termasuk Redmi 2, Mi Note dan juga Redmi Note 3. Dengan perkembangan sihat Xiaomi, semestinya ramai yang sedang menantikan pengenalan peranti flagship Xiaomi yang seterusnya, iaitu Mi5.

Xiaomi sebelum ini telah memperkenalkan Mi4 pada penghujung 2014 yang lepas – namun, masih tiada berita berkenaan dengan Mi5 sehingga kini. Ia dikatakan Xiaomi sedang menyiapkan sebuah peranti berspesifikasi tinggi yang memenuhi permintaan ramai dan menawarkan pengalaman yang baik kepada pengguna.

Xiaomi Render

Terkini, sebuah video tertiris ke arena web, memperlihatkan sebuah peranti Xiaomi yang tidak diumumkan lagi. Bahagian hadapannya membawakan elemen Mi Note, tetapi dengan beberapa perubahan – termasuk perubahan pada kedudukan sensor, dan juga menyertakan sebuah butang pada bahagian bawah – berkemungkinan besar adalah pengimbas cap jari.

Mengikut desas-desus, Xiaomi Mi 5 dikatakan akan membawakan skrin bersaiz 5.2-inci, cip Snapdragon 820, memori sehingga 4GB RAM, dan bateri berkapasiti 3030mAh. Xiaomi Mi 5 juga dijangka akan menyertakan kamera belakang 16-megapixel dan juga kamera hadapan 8-megapixel.

Ia tidak diketahui lagi bilakah Xiaomi akan mengumumkannya. Mungkinkah kita akan melihatnya dilancarkan pada Januari 2016 kelak?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd