Carian
SKMM : Pengguna Prabayar Akan Menerima Rebat GST Dalam Tempoh Kurang 24 Jam
December 28, 2015 Aman

Pada Belanjawan 2016 yang lepas, pihak kerajaan telah mengumumkan yang mana mereka akan memberikan rebat GST kepada para pengguna prabayar, dan pada masa yang sama tambah nilai untuk prabayar akan dijual pada harga asal tanpa penambahan 6% seperti sekarang.

Buat masa ini, sehingga 31 Disember, setiap jualan tambah-nilai prabayar hadir dengan tambahan GST. Sebagai contoh, sekiranya pengguna membeli tambah-nilai RM10, anda akan diperlukan untuk membayar RM10.60.

GST Topup

Perkara ini akan berubah bermula 1 Januari 2016 kelak, dimana tambah nilai akan dijual pada harga asal – sebagai contoh, RM10 pada harga RM10.

Walaubagaimanapun, pengguna akan hanya menerima nilai selepas ditolak GST ketika tambah-nilai, dan nilai GST yang ditolak berkenaan akan dikembalikan dalam tempoh 24 jam.

Sebagai contoh, sekiranya pengguna membuat tambah-nilai sebanyak RM10, anda hanya akan menerima RM9.43 ketika proses tambah-nilai berkenaan, dan baki RM0.57 dalam tempoh kurang 24 jam.

Mekanisma baru ini akan aktif selama setahun – iaitu sehingga 31 Disember 2016 kelak, dan lanjutan untuk rebat prabayar ini akan diketahui bergantung kepada pengumuman pihak kerajaan pada Belanjawan 2017 kelak.

SKMM turut mengatakan rebat GST hanya diberikan kepada pengguna prabayar sahaja dan bukannya pascabayar kerana ini adalah salah satu usaha kerajaan dibawah Rancangan Malaysia Kesebelas dalam membantu golongan B40 yang mempunyai pendapatan purata bawah RM2,537.

Komen