“Masih ada atau tidak jurugambar yang menggunakan DSLR?” Jika anda bertanyakan soalan begini, kebarangkalian pertama adalah anda bukanlah seorang jurugambar profesional atau sepenuh masa. Kedua subjek rakaman anda kebanyakannya adalah wajah anda sendiri, makanan atau kaki anda. Ketiga kamera pertama dan terakhir anda adalah telefon bimbit atau yang keempat, anda tidak pernah tahu jenis kamera jenama Canon yang dipegang oleh artis tempatan, Yuna, atau jika anda tidak kenal siapa itu Yuna, anda boleh ‘Google’ kemudian.
DSLR masih kekal relevan meskipun mendapat persaingan sengit daripada beberapa format kamera lain terutamanya sistem tanpa cermin atau ‘mirrorless’. Bagi mereka yang sering berada di lapangan merakam genre-genre fotografi tertentu seperti sukan, hidupan liar, berita, acara korporat dan beberapa yang lain, bagi kebanyakan jurugambar profesional, tiada format lain yang lebih dipercayai atau diyakini selain DSLR. Dengan sistem DSLR yang lebih stabil dan pantas dengan sejarah pembangunan sistem ini melebihi setengah abad lamanya, terdapat situasi-situasi dimana kepantasan dan ketahanan sistem DSLR masih belum dapat ditandingi, contoh mudah adalah ketahanan bateri. Sila jangan sesekali cuba membandingkan sistem kamera DSLR dengan kamera AES.
Canon tampil menjawab persoalan ini dengan kehadiran model EOS 7D Mark II mereka. Meskipun sudah beberapa bulan di pasaran, masih ramai yang tertanya-tanya adakah kamera Canon EOS 7D Mark II mampu membuktikan bahawa DSLR masih kekal relevan. Berbekalkan pemprosesan imej Digic 6, bukan satu tetapi dua Digic 6 yang menjadikan EOS 7D Mark II lebih pantas daripada kebanyakan barisan EOS lain termasuk EOS 1DX! Tidak tamat di situ, EOS 7D Mark II tampil dengan keupayaan ISO natif 100-16000 berbanding hanya 6400 pada EOS 7D dan boleh dipertingkatkan kepada nilai yang lebih tinggi. Hakikat sebenar sistem ‘metering’ pada EOS 7D Mark II ini telah dinaik taraf lebih daripada apa-apa yang terdapat pada EOS 5D markIII dan 1DX, dengan jumlah sensor ‘metering’ RGB sebanyak 150,000 berbanding hanya 100,000 pada 5D mark III dan 1DX.
Kami berpeluang mencuba dan melihat sendiri kemampuan sebenar kamera ini namun tidak berpeluang mencuba kamera ini di lapangan sebenar seperti kejohanan bola sepak profesional ataupun litar perlumbaan akibat kekangan masa yang singkat diberikan. Penulis tidak mahu berlaku zalim dengan hanya merakam imej kasut yang baharu dibeli kelmarin menggunakan kamera berprestasi tinggi ini, telefon bimbit sudah memadai untuk itu. Jadi kami telah menemuramah salah seorang pengguna Canon EOS 7D Mark II yang juga seorang jurugambar sukan separuh masa saudara Zureehan Zakaria bagi mendapatkan maklum balas yang lebih tepat dan adil bagi pengalaman merakam di lapangan sebenar menggunakan Canon EOS 7D Mark II ini, sambil melihat hasil-hasil karya yang beliau rakam di kejohanan liga bola sepak kebangsaan dan juga acara-acara sukan yang lain.
Mohd Zureehan Zakaria atau lebih senang dipanggil Zureen telah menceburi bidang fotografi untuk beberapa tahun lamanya sebelum melibatkan diri di dalam genre sukan secara aktif bermula pada Liga Malaysia 2014. Ikuti temuramah beliau bersama-sama AMANZ.
Apakah peralatan kemera yang pernah saudara gunakan sebelum ini?
Saya bermula dengan hanya Canon EOS 550D sebelum beralih kepada EOS 7D. Kemudian saya menambah koleksi kamera saya dengan kehadiran EOS 5D markIII dan yang terbaharu adalah EOS 7D Mark II pada awal tahun ini. Untuk rakaman aksi sukan, EOS 7D Mark II menjadi pilihan utama saya buat masa ini atas beberapa faktor penting yang tidak terdapat pada 5D markIII dan kamera-kamera sebelum ini. Ketika ini saya sekadar merakam menggunakan lensa Canon 70-200mm F2.8L sebagai lensa utama dan jika ada rezeki, mudah-mudahan saya bakal mendapatkan lensa 300mm atau 400mm 2.8L pada tahun hadapan.
Sebelum kehadiran EOS 7D Mark II, kamera apakah yang digunakan bagi rakaman aksi sukan?
Sebelum ini saya mula menjinakkan diri dalam genre sukan hanya dengan EOS 7D, tidak lebih daripada itu.
Apa perbezaan ketara di antara EOS 7D Mark II dan EOS 7D?
Banyak perbezaan di antara keduanya. Pertama sekali adalah ‘Burst speed’ yang jauh lebih pantas iaitu 10 imej sesaat berbeza dengan hanya 7 imej pada EOS 7D. Selain itu ciri penting lain yang telah dinaik taraf dan jauh berkualiti adalah kualiti ISO yang jauh lebih baik pada tetapan ISO tinggi. Bagi pemfokusan, kamera ini jauh mengatasi EOS 7D dengan jumlah sebanyak 65 sensor berpalang berbanding 19, dan sedikit mengatasi EOS 5D mark III dan 1DX yang masing-masing memiliki 61 dan 41 jenis sensor fokus berpalang. Daripada sudut ergonomik, pegangan tangan dan sebagainya terdapat beberapa penambahan butang fungsi bagi tetapan peribadi dan fungsi yang mudah dan pantas untuk diakses. Tidak lupa juga peningkatan resolusi imej kepada 20.2MP berbanding 18MP pada EOS7D.
Bagaimana pula jika dibandingkan dengan EOS 5D Mark III?
Seperti ramai sedia maklum 5D Mark III merupakan kamera bingkai penuh berbanding 7D Mark II yang memiliki ‘crop factor’ 1.6, namun dalam situasi rakaman menggunakan lensa tele.
Apakah peningkatan ciri-ciri penting yang ada pada EOS 7D Mark II ini?
Ciri-ciri yang paling penting yang terdapat pada kamera ini adalah keupayaan rakaman berterusan sebanyak 10 imej sesaat yang hampir dan setaraf dengan barisan model siri EOS 1D. Mungkin tidak setanding EOS 1DX yang berkeupayaan merakam sehingga 14 imej sesaat, namun 10 imej sesaat sudah jauh memadai bagi saya pada ketika ini.
Bagaimana purata rakaman terbaik bagi turutan imej berterusan yang dihasilkan?
Jika dibandingkan purata rakaman terbaik, dengan EOS 7D Mark II boleh saya bandingkan dalam skala 10, purata rakaman terbaik adalah 7/10 berbanding hanya 5/10 bagi EOS 7D.
Untuk siapa anda syorkan Canon EOS 7D mark II ini?
Pada pendapat saya, EOS 7D Mark II ini merupakan pilihan terbaik bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam subjek genre fotografi yang berkelajuan pantas seperti sukan, hidupan liar mahupun rakaman acara dan berita. Dengan harga yang sangat berpatutan berbanding keupayaan dan prestasinya yang tinggi, EOS 7D Mark II sememangnya pilihan yang amat baik. Bagi jurugambar profesional yang sudah memiliki barisan siri EOS 1D yang terbaharu yang inginkan sebuah kamera kedua sebagai simpanan, jauh lebih ringan berbanding barisan siri EOS 1D, ini adalah pilihan yang sesuai untuk mereka.
Apapun persoalan yang timbul, jawapan pertama penulis sebelum ditanya adalah, ya jika ‘peruntukan’ mengizinkan. Tetapi berbaloi atau tidak? Bergantung kepada genre yang diceburi, jika hanya sekadar merakam gambar kenangan bersama-sama jiran sebelah atau ‘selfie’ bersama-sama kucing kesayangan, EOS-M yang jauh lebih kecil dan kompak mungkin menjadi pilihan yang sesuai. Tetapi jika anda ingin menceburkan diri secara serius atau inginkan sesuatu yang lebih profesional dan berkeupayaan tinggi, pelaburan jangka panjang EOS 7D Mark II adalah pilihan yang bijak untuk membawa anda jauh ke arena fotografi profesional. Setelah meneliti keupayaan yang ada pada EOS 7D Mark II, kami simpulkan bahawa kamera ini adalah sebuah kamera EOS 5D Mark III yang lebih baik tetapi dengan sensor yang lebih kecil.
Perbandingan kos? separuh lebih rendah berbanding EOS 5D mark III dengan harga jualan sekitar RM5000-5500 dan nasihat kami, untuk jaminan yang tidak mengecewakan, pastikan kad jaminan dikeluarkan oleh Canon Malaysia. Selamat Tahun Baru!
- Terima kasih Mohd Zureehan Zakaria untuk perkongsian rakaman gambar.