Carian
Ulasan: Huawei P8 lite
December 28, 2015 Arib Ismail
P8 lite-03966
Huawei P8lite
Pemproses HiSilicon Kirin 620 1.2GHz, lapan-teras
Memori 2GB RAM
Storan 16GB, microSD sehingga 128GB
Kamera Belakang 13MP auto-focus, rakaman video 1080p
Kamera Depan 5MP, rakaman video 720p
Skrin 5.0-inci IPS, 720×1280 piksel, 294 ppi
Sambungan 4G LTE, Bluetooth 4.0, A-GPS, NFC
Sistem Android 5.0 Lollipop, Emotion UI 3.1
Bateri Li-Ion 2200 mAh, tidak boleh ditukar

Terdahulu, saya pernah mengulas Oppo R7 lite yang merupakan versi yang sedikit dikurangkan daripada R7. Kini satu lagi peranti yang membawakan fungsi seumpama flagship dengan spesifikasi yang dikurangkan ialah Huawei P8 lite. Ia merupakan variant kecil di bawah Huawei P8 yang membawakan rekabentuk dan spesifikasi yang dikemaskini daripada Huawei P7.

Sekiranya R7 lite hadir dengan binaan yang sama seperti R7, rekabentuk Huawei P8 lite didatangkan dengan rekaan lebih kecil dan bahan binaannya diperbuat daripada plastik. R7 lite juga mengekalkan sensor kamera 13MP dan cip pemprosesan yang sama menerusi Snapdragon 615, sama seperti flagship R7. Cuma perbezaan ketaranya adalah dari segi skrin dan jumlah RAM yang membezakan kedua-kedua peranti ini.

Namun untuk P8 lite dan flagship P8, kedua-duanya hadir dengan perbezaan ketara, baik dari segi rekabentuk, skrin, cip pemprosesan, jumlah RAM, dan kemampuan kamera. Pada P8, ia hadir dengan rekabentuk logam, skrin 5.5-inci IPS-Neo lCD, cip HiSilicon Kirin 930, memori 3GB RAM, dan kamera dengan sokongan OIS. Secara kasarnya banyak perkara telah dikurangkan pada P8 lite berbanding flagship asalnya. Jadi, mampukah ia menawarkan pengalaman seumpama flagship Huawei P8?

Rekabentuk

Rekabentuk peranti ini mengingatkan saya dengan peranti Sony Xperia yang dibina berasaskan rekabentuk OmniBalance. Ia hadir dengan rekabentuk simetri yang seimbang dari pelbagai sudut, sekaligus membuatkan ia lebih selesa untuk dipegang. Peranti ini hadir dengan ketebalan 7.7mm jadi ia sedikit tebal berbanding P8 yang didatangkan dengan 6.4mm. Cuma beratnya lebih ringan iaitu 131g, berbanding flagship Huawei P8 yang seberat 144g. Rekebentuk sisinya juga menarik, menghasilkan efek kemasan logam apabila dipantulkan dengan bayang dan cahaya. Jujur saya katakan, rekaannya membuatkan orang disekeliling saya bertanyakan apakah peranti yang sedang saya gunakan.

P8 lite page

Bahagian kanan peranti menempatkan butang kuasa dan butang pelasaran suara yang saya kira mudah untuk dicapai. Di bahagian bawah butang kuasa peranti ini menempatkan slot dual-sim yang mana sim tray kedua boleh berfungsi sebagai slot kad microSD. Di bahagian atas terdapat earphone jack 3.5mm dan di bahagian bawahnya terdapat sambungan Micro USB. Lokasi pembesar suara juga strategik iaitu di bahagian bawah peranti, menjadikan ia lebih mudah didengari ketika diletakkan di dalam poket seluar.

Paparan

Saya suka dengan rekabentuk hadapan P8 lite yang ringkas dengan logo Huawei di bawahnya. Tiada butang home atau butang kapasitif di bawah skrin ini kerana sepenuhnya bergantung kepada butang on screen. Sekiranya P8 hadir dengan skrin IPS-Neo LCD 1080p, P8 lite hadir dengan resolusi skrin yang dikurangkan kepada skrin IPS LCD biasa pada resolusi 720p.

P8 lite-03943

Dengan saiz skrin sebesar 5-inci berbanding 5.2-inci pada Huawei P8, penampakan piksel tidak bergitu ketara walaupun hadir dengan 294 PPI. Walaupun penggunaan skrin IPS LCD tidak begitu jitu jika dibandingkan dengan AMOLED, warna yang dipersembahkan amat terang dan boleh dilihat di bawah sinaran cahaya matahari. Cuma dari segi darjah pandangannya agak terhad yang mana menyukarkan anda melihat skrin dari padangan lain.

Emotion UI 3.1 dengan Android 5.0 Lollipop

Huawei P8 lite didatangkan dengan antaramuka Emotion UI 3.1 yang dibina berasaskan Android 5.0.2 Lollipop. Ia kelihatan cantik namun saya kurang menggemari rekaan ikon bulat pada aplikasi yang tidak menyokong tema yang didatangkan. Ia menyebabkan ikon seperti Play Store kelihatan buruk, sama seperti masalah MIUI daripada Xiaomi. Ia tidak seperti Color OS yang menggunakan rekaan ikon asal tanpa perlu ‘mimic’ kepada tema yang sedang diaktifkan.

P8lite S1

Walaupun Emotion UI 3.1 berasaskan Android 5.0 Lollipop, amat mengecewakan ia tidak menyokong tinted status bar Lollipop untuk paparan aplikasi. Bagi saya ia kurang menarik kerana tinted status bar adalah mengikut warna wallpaper. Jadi warna status bar tidak selari dengan warna tema aplikasi seperti mana yang hadir pada fungsi asal Android 5.0 Lollipop.

Sama seperti antaramuka Android lain, ia juga hadir dengan sokongan tema dan wallpaper yang boleh dimuat-turun. Paparan multi-taskingnya juga menarik, menempatkan thumbnail penuh dengan sokongan grid 4×4. Fungsi single-hand mode turut didatangkan yang mana anda perlu menyeret jari di bahagian bawah skrin ke kiri atau ke kanan untuk mengaktifkannya.

P8lite S2
Prestasi

Sama seperti Samsung, Huawei turut menggunakan cip pemprosesan sendiri untuk menjana peranti keluaran mereka. P8 lite ini hadir dengan cip pemprosesan HiSilicon Kirin 620 yang berasaskan cip lapan-teras 1.2GHz. Dari segi prestasi, ia terasa sangat lancar dan pembukaan aplikasi dilihat pantas tanpa perlu menunggu lama. Cuma dari aspek multitasking ia dilihat kurang menyerlah kerana terdapat sela masa ketika bertukar dari satu aplikasi ke aplikasi lain.

Penggunaan 2GB RAM dilihat tidak banyak membantu di sini kerana mungkin tekanan memori daripada Emotion UI yang agak berat. Namun prestasi cip grafik Mali-450MP4 dilihat dapat memainkan permainan bergrafik sederhana dengan amat baik sekali. Memainkan permainan seperti Modern Combat 5 dan Dead Trigger tidak memberi masalah penurunan frames per second (FPS) dan mampu menjalankannya dengan lancar. Saya boleh kata prestasinya setanding dengan cip pemprosesan Snapdragon 615 daripada Qualcomm.

Kamera

Kamera 13MP yang didatangkan amat baik dari segi kejituan dan ketajaman imej. Hasil gambar yang dipersembahkan juga terang terutama di kawasan yang terdedah dengan cahaya. Cuma warna gambar kelihatan sedikit oversaturated terutama penggambaran pada waktu siang. Penggambaran indoor dan waktu malam juga dilihat baik yang mana tidak menunjukkan masalah noise yang ketara.

[amanz-gallery]

Saya juga suka dengan kamera hadapan 5MP yang menghasilkan selfie dengan kulit muka yang licin tanpa bantuan alat solekan tambahan melalui fungsi Perfect Selfie. Cuma dari segi kejituan dan ketajaman imej kamera hadapan, ia tidak begitu memuaskan atas hasilnya yang agak soft. Warnanya juga agak saturated seperti hasilan imej pada kamera belakang peranti.

Antaramuka kamera P8lite dilihat kemas yang menampilkan rekaan seakan antaramuka kamera iOS. Di bawah antaramuka ini terdapat fungsi filter yang saya kira ada baiknya gambar dibiarkan #nofilter untuk gambar yang lebih cantik. Menekan di butang hamburger anda akan disajikan fungsi menarik seperti HDR, Audio Note, dan Panorama. Cuma untuk menukar ISO (yang boleh diubah pada 100, 200, 400, 800 & 1600) agak sedikit sukar diakses yang mana terdapat pada Settings yang jauh di dalam.

P8lite S3

Satu perkara yang saya paling suka dengan peranti Huawei terkini adalah kehadiran fungsi Ultra Snapshot yang membolehkan anda mengambil gambar sepantas kilat sebaik sahaja anda menekan dua kali butang volume down. Yang menariknya, anda tidak perlu menyahkunci peranti ini, hanya dengan menekan dua kali butang ini, gambar dapat diambil dengan serta merta.

Jangka Masa Bateri
Screenshot_2015-12-26-20-00-54

Pengalaman menggunakan peranti Snapdragon amat memuaskan hati saya dari segi ketahanan bateri. Sebelum ini saya pernah mengulas Oppo R7 lite yang baterinya melebihi 4 jam screen on time (SOT). Peranti tersebut dijana dengan Snapdragon 615 yang dikatakan setanding dengan kelas HiSilicon Kirin 620.

Walau bagaimanapun, jangka hayat bateri P8 lite dilihat agak sederhana kerana hanya mampu bertahan sehari dengan screen on time selama 3 jam 34 minit. Sejujurnya saya sukar mendapatkan screen on time melebihi 4 jam apabila menggunakannya sepanjang hari. Gabungan HiSilicon Kirin 620 dengan kapasiti bateri sebesar 2200 mAh nampaknya tidak begitu memuaskan kerana prestasi baterinya yang kelihatan agak sederhana.

Huawei turut menampilkan Power Saving mode tersendiri menerusi tiga mod berbeza iaitu Normal Mode, Smart Mode, dan Ultra Mode. Normal Mode adalah mod yang disarankan sekiranya anda menggunakan peranti ini untuk memainkan permainan dan video. Smart Mode pula akan mengawal kelajuan CPU dan sambungan internet secara automatik untuk penggunaaan yang seimbang untuk harian. Paling menarik ialah Ultra Mode yang mana hanya menawarkan antaramuka asas seperti Dialer, Messaging dan Contacts.

Rumusan

Keseluruhannya P8 lite menawarkan nilai yang baik bagi sebuah peranti pertengahan namun ada beberapa kekurangan yang saya perlu tampilkan terlebih dahulu. Ia mungkin dilihat tidak begitu ‘mencacatkan’ keindahan peranti ini namun bagi saya, ia perlu diberi perhatian yang serius oleh Huawei untuk peranti ‘lite’ keluaran mereka untuk akan datang.

Satu perkara yang saya berasa agak terganggu adalah dari segi prestasi multitaskingnya yang mempunyai sedikit sela masa. Namun saya kira majoriti pengguna tidak melihat ini sebagai isu atas prestasi yang saya kira boleh diterima oleh pengguna biasa. Tetapi sekiranya anda biasa menggunakan peranti stock Android seperti peranti Nexus, ia akan membuatkan anda kurang senang dengan prestasi multitasking ini.

Emotion UI pada P8lite juga tidak memuaskan hati saya seperti ketidakhadiran tinted status bar Lollipop pada aplikasi. Antaramuka ikon pada launcher juga dilihat ‘terkongkong’ dengan rekabentuk ikon pada sesuatu tema. Ia tidak seperti Color OS yang membenarkan rekabentuk ikon asal dipaparkan apabila tema tersebut tidak menyokong rekabentuk ikon aplikasi tersebut.

P8 lite-03918

Ketahanan bateri dibawah 4 jam SOT turut menjadi isu yang saya kira tidak sepatutnya berlaku pada peranti keluaran tahun ini. Bacaan 3 jam SOT bagi saya adalah bacaan yang sederhana untuk peranti kelas pertengahan sebegini. Kirin 620 mungkin dilihat berjaya membawa prestasi permainan yang cemerlang namun dari segi penggunaan bateri, ia masih perlu diperbaiki. Alternatif (saingan) terdekatnya Snapdragon 615 dilihat lebih menawarkan jangka hayat bateri dan prestasi yang lebih baik seperti mana yang saya katakan pada ulasan Oppo R7 lite.

Pro
  • Rekaan elegan yang mampu menarik perhatian
  • Prestasi permainan dan keseluruhan dilihat pantas untuk penggunaan harian
  • Fungsi Ultra Snapshot yang mampu mengambil gambar tanpa menyahkunci peranti
  • Hadir dengan fungsi dwi-sim dan sokongan microSD
Kontra
  • Walaupun pembukaan aplikasi dilihat pantas, multitasking aplikasi masih dilihat mempunyai sela masa
  • Emotion UI tidak mengikut piawaian antaramuka stock Android
  • Ketahanan bateri mampu bertahan sehari namun SOT hanya sekitar 3 jam
  • Gambar yang dihasilkan agak soft dan oversaturated

Apapun ia masih sebuah pembelian yang bernilai kerana dikuasakan dengan cip HiSilicon Kirin 620 yang berprestasi seumpama cip Snapdragon 615. Saya suka dengan prestasinya yang sangat lancar walaupun terdapat sedikit masalah sela masa pada bahagian multitasking. Begitu juga dengan rekabentuknya, ia kelihatan elegan dan menawan yang mana mampu menambat hati orang yang melihat peranti ini buat kali pertama. Ia mungkin tidak memberi pengalaman sebaik flagship Huawei P8 namun ia masih sebuah peranti yang berdaya saing dengan kelasnya.

Skor Amanz 2015 - Markah - P8 lite
Komen