Breitling Exospace B55 – Jam Tangan Pintar Khas Untuk Juruterbang

Breitling Exospace B55 – Jam Tangan Pintar Khas Untuk Juruterbang

Diterbitkan pada Dis 29, 2015 oleh .

Pengeluar jam tangan berjenama mewah kini mengalami kemerosotan jualan sejak jam tangan pintar mula memasuki pasaran. Dalam laporan beberapa bulan lalu, jenama mewah seperti Rolex menunjukkan pengurangan jualan terutamanya di negara Asia selepas Apple Watch mula dijual. Penurunan adalah sekitar 14.5% berbanding tahun lalu. Harga jam tangan pintar yang lebih murah dan memberikan lebih banyak fungsi berbanding jam analog biasa menjadi faktor kepada pengurangan jualan tahun ini.

Breitling-Exospace-B55-2

Jadi tidak mengejutkan pengeluar jam tangan mewah kini berpusu-pusu mengeluarkan jam tangan pintar mereka sendiri. Sebelum ini Tag Heuer menghasilkan jam tangan Android Wear pertama mereka iaitu Tag Heuer Connected. Kini tiba giliran Breitling dengan jam tangan pintar yang direka khas untuk juruterbang. Breitling Exospace B55 tidak seperti Tag Heuer Connected, Breitling mengekalkan mekanisme analog dan hanya meletakkan dua paparan LCD berbentuk segi empat tepat. Apabila ditambat pada peranti pintar menggunakan Bluetooth, notifikasi akan dipaparkan pada muka jam. Fungsi khas juruterbang yang disertakan adalah seperti paparan waktu pada jam analog boleh berubah secara automatik mengikut zon waktu tempatan selepas tiba di destinasi. Ia turut boleh merakam waktu penerbangan, menyelaraskan waktu paling tepat dengan menara kawalan dan juga merekodkan masa diambil untuk melakukan pusingan untuk atlet sukan lumba kapal terbang. Jam tangan pintar ini dibina menggunakan titanium bagi memastikan ianya tahan lasak. Harga jualan Breitling Exospace B55 bermula dari RM 36850 sepasang.

Breitling-Exospace-B55-1


TIPS & ULASAN