Giliran Malindo Air Pula Mengharamkan Papan Apung Dari Pesawat Mereka

Giliran Malindo Air Pula Mengharamkan Papan Apung Dari Pesawat Mereka

Diterbitkan pada Dis 29, 2015 oleh .

Papan apung (hoverboard) ialah mainan paling hangat musim Krismas 2015. Papan apung ini adalah peranti paling banyak diberikan sebagai hadiah selepas peranti pintar dan tablet. Ia membolehkan pengguna bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain hanya dengan menyengetkan tubuh ke arah yang dikehendaki. Ianya mungkin popular namun mempunyai sebuah masalah besar iaitu mudah terbakar. Beberapa papan apung sudah dilaporkan terbakar secara tiba-tiba kerana masalah pada bateri. Sungguhpun begitu penjualannya masih belum diharamkan dan pengeluar pula tidak melakukan sebarang penambahbaikan bagi menyelesaikan masalah kebakaran rawak yang berlaku.

Hoverboard-Papan-ApungDua minggu lalu Penerbangan Malaysia Berhad (MAB) mengharamkan penumpang dari membawa masuk papan apung ke dalam kabin ataupun ruang kargo. Pengharaman secara meluas ini juga masih berkuat kuasa walaupun papan apung telah dicabut baterinya. Kini Malindo Air mengeluarkan arahan yang sama mengharamkan penumpang dari membawa papan apung. Pada waktu yang sama mereka juga mengeluarkan arahan baru supaya penumpang memasukkan bateri lithium tambahan ke dalam beg plastik sebelum menaiki pesawat. Dua sambungan terdedah pada bateri lithium perlu ditutup bagi mengelakkan pertemuan dengan bahan logam yang boleh menghasilkan percikan api. Sebelum ini Malindo Air mengharamkan penumpang dari membawa masuk vape ke dalam kabin susulan kebakaran yang berlaku akibat rokok elektronik ini.


TIPS & ULASAN