Terdapat dalam beberapa filem yang kita melihat sebahagian daripada kereta diubah menjadi motorsikal – sebagai contoh pada filem Batman. Bagi anda yang inginkannya, perkara seumpamanya mungkin menjadi realiti. Ford kini telah memfailkan paten untuk kebolehan roda belakang pada kenderaan yang boleh diubah menjadi ekasikal (motosikal satu roda).
Melalui apa yang diperlihatkan, pengguna boleh menanggalkan tayar belakang yang hadir terbina dengan bateri dan tempat duduk. Sebuah bahagian tambahan turut boleh diambil daripada bonet untuk mengawal ekasikal berkenaan.
Paten yang difailkan oleh Ford ini membolehkan pengguna untuk meletakkan kenderaan mereka di kawasan letak kenderaan – dan memasuki bandar menggunakan ekasikal, sekaligus mengelakkan tersangkut dalam kesesakkan lalu lintas.
Apa pun, seperti biasa, memfailkan paten ini tidak bermakna pihak Ford akan mengkomersialkan produk berkenaan. Namun, ia adalah sesuatu yang menarik untuk melihat evolusi seumpama ini dalam arena automotif.