Cari @ Amanz

Penjualan papan apung meningkat secara mendadak pada tahun ini. Kepopularannya lebih tertumpu kepada anak muda yang mahukan kenderaan beroda yang unik dan tidak memerlukan tenaga untuk digunakan. Semalam kami melaporkan papan apung diharamkan dari dibawa masuk ke dalam pesawat Malindo Air. Hari ini ada berita sedikit aneh melibatkan seorang paderi di Filipina.

Seorang paderi Katolik digantung perkhidmatannya kerana menggunakan papan apung ketika melakukan tugas di gereja. Beliau menggunakan kenderaan ini ketika melakukan tugas hujung minggu lalu. Keuskupan San Pablo mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan menggunakan papan apung ketika bertugas adalah tidak menghormati kesucian gereja. Seorang paderi sepatutnya menjalankan tugas dengan ikhlas dan bukannya menggunakan papan apung yang dirasakan mengganggu tumpuan jemaah ketika beribadah.

Apa yang berlaku di Filipina ini kami rasakan menarik kerana hukum penggunaannya di dalam acara agama berbeza dengan Islam. Beberapa bulan yang lalu muncul video seorang lelaki melakukan tawaf menggunakan papan apung. Para ulama tidak naik berang sebaliknya mengeluarkan fatwa ianya harus digunakan sekiranya seseorang individu itu kurang upaya untuk melakukan tawaf dengan tenaga sendiri.

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd