Cari @ Amanz

Beberapa minggu yang lalu kami menghabiskan hujung minggu si sebuah pusat membeli belah. Tiba-diba di hadapan kami asap bekepul-kepul seperti letupan yang berlaku selepas Ibrahim Din meniup harmonika untuk meminta tiga biji makjun kuat. Rupa-rupanya ada seorang insan menghisap vape di dalam kawasan berhawa dingin. Apabila ditegur individu ini dengan tenang berkata tidak ada undang-undang mengharamkan beliau menghisap vape di dalam pusat membeli belah. Lalu beliau terus berjalan menghisap vape sambil mengusung seorang anak kecil.

Vape

Kejadian seperti ini kami yakin juga pernah pembaca temui sejak vape meningkat kepopularannya. Insiden menghisap vape secara sesuka hati tanpa mengira tempat adalah antara sebab mengapa kami tidak mempunyai sebarang simpati terhadap pengharaman vape di beberapa negeri di Malaysia. Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan akan mewartakan 21 kawasan yang diharamkan menghisap vape di Malaysia bermula 2016. Pindaan akan dilakukan kepada Akta Makanan 1983 : Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 bagi menjadikan menghisap vape satu kesalahan di 21 kawasan ini. Kepada yang kurang arif, berikut ialah kawasan yang kini diharamkan anda menghisap rokok.

  • Di dalam pusat hiburan atau teater, kecuali pub, disco, kelab malam atau kasino
  • Di mana-mana kawasan hospital atau klinik
  • Di dalam lif atau tandas awam
  • Di dalam tempat makan atau kedai berhawa dingin
  • Di dalam kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam
  • Di dalam bangunan yang dinyatakan oleh menteri melalui pemberitahuan dalam warta
  • Di mana-mana kawasan lapangan terbang
  • Di mana-mana kawasan premis kerajaan
  • Di mana-mana kawasan yang digunakan bagi apa-apa aktiviti perhimpunan di dalam sesuatu bangunan
  • Di mana-mana kawasan institusi pendidikan tinggi
  • Di mana-mana kawasan taman asuhan kanak
  • Di dalam bas sekolah
  • Di mana-mana tingkat dalam bangunan yang mempunyai kaunter perkhidmatan bank atau institusi kewangan, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional dan Pos Malaysia
  • Di mana-mana kawasan di dalam kompleks membeli-belah
  • Di mana-mana kawasan di dalam stesyen minyak
  • Di mana-mana kawasan di dalam stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan atau gimnasium
  • Di dalam mana-mana bangunan atau tempat awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan
  • Di mana-mana kawasan di dalam perpustakaan
  • Di mana-mana kawasan di dalam kafe internet dan
  • Di mana- mana kawasan di dalam tempat latihan khidmat negara
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd