Cari @ Amanz

logo_betaPada penghujung bulan November yang lalu sewaktu penutup minggu keusahawanan serantau ASEAN yang dikenali sebagai 1AES (ASEAN Entrepreneur Summit), salah satu acara anugerah telah diadakan iaitu Rice Bowl Awards 2015. Anugerah tersebut diwujudkan bagi mengiktiraf startup di rantau ASEAN yang telah hadir dengan produk serta perkhidmatan menarik. Neon Runner, salah satu startup yang menjalankan perkhidmatan logistik telah menggondol dua anugerah, iaitu Service Startup of The Year dan juga anugerah utama, iaitu Golden Rice Bowl Awards.

Perkhidmatan Neon Runner telah bermula dari bulan Disember 2014 dan uniknya pasukan penghantar mereka yang kebanyakannya menggunakan motorsikal tampil dengan rekaan yang agak janggal dalam syarikat logistik, iaitu warna merah jambu. Dari pengamatan penulis sendiri, acapkali apabila terlihat penunggang motorsikal dengan menggunakan beg penghantaran tersebut, ia sesuatu yang lain dari yang lain. Kami telah berkesempatan meluangkan masa dengan pengasasnya, iaitu M Kanashan bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan ‘Pasukan Penghantaran Merah Jambu’ ini.

11822633_1104852756194897_328985235756032804_n

M Kanashan telah mengasaskan syarikat ini bersama rakannya Arvind Patmarajah. Idea bermula apabila mereka memerlukan sesuatu pada masa yang pantas dan pada hari yang sama. Perkhidmatan Neon Runner tidak boleh disamakan dengan Be Malas kerana Be Malas lebih menekankan kepada pelaksanaan tugas rencam (Concierge), manakala Neon Runner menawarkan penghantaran barangan dapat dilaksanakan pada hari yang sama. Malah, Be Malas juga antara pelanggan perkhidmatan Neon Runner, menjadikan perhubungan mereka lebih berbentuk simbiotik dan saling melengkapi.

Sewaktu memulakan perniagaan ini, Kanashan telah menggunakan wang simpanan bagi tujuan pendidikan anak mereka, dan menjual keretanya. Sejumlah wang tersebut mencukupi untuk operasi permulaan selama 6 bulan, dalam merealisasikan idea ini. Mereka bernasib baik kerana memperoleh pelaburan pada jangkamasa yang singkat, dan pada bulan April 2015 telah menerima pelaburan pertama mereka berjumlah hampir USD 500,000. Untuk permulaan, kebanyakan wang pelaburan tersebut digunakan untuk menambah bilangan penghantar mereka, satu kekuatan serta keunikan pada Neon Runner.

11846629_1109241929089313_2997682202527545309_nUniknya perkhidmatan ini kerana sekiranya pengguna memerlukan sesuatu untuk dihantar, Neon Runner menjanjikan barangan tersebut akan dikutip oleh penghantar mereka dalam tempoh 30 minit, serta akan dihantar ke destinasi pada hari yang sama. Salah satu kekuatan mereka dalam memungkinkan operasi sebegini adalah dengan adanya lebih dari 200 penghantar dan oleh kerana kesemua mereka menggunakan motorsikal, kelajuan penghantaran dapat dipertingkatkan meskipun terdapat cabaran dari iklim Khatulistiwa iaitu panas dan hujan yang tidak menentu. Hujan didapati bakal membawa masalah kepada rangkaian logistik mereka yang bergantung kepada motorsikal.

Dalam pembangunan syarikat, salah satu fokus utama Neon Runner adalah terhadap penghantarnya. Didalam kebanyakanya syarikat logistik, penghantar atau pemandu merupakan tulang belakang utama industri tersebut. Upah seseorang penghantar Neon Runner dikatakan lebih dari purata bayaran yang diberikan terhadap penghantar dari syarikat logistik lain dan dengan kiraan minima, penghantar Neon Runner dapat memperoleh serendah RM 2,000 sebulan. Mereka turut menjalani kursus latihan bukan sekadar pengendalian barangan, bahkan sahsiah serta ilmu berkaitan dengan industri tersebut seperti cara berkomunikasi dengan pelanggan. Ini sekaligus menaikkan martabat penghantar barangan, yang selalu dipandang enteng oleh masyarakat umum.

Tiada pejabat sehingga kini, dan beroperasi di Restoran Mamak

Dalam berkongsi lagi mengenai operasi Neon Runner, Kanashan turut menyatakan sehingga kini, mereka masih tidak mempunyai pejabat. Jika tanggapan umum yang menyatakan perlunya pejabat untuk sesuatu syarikat beroperasi, Neon Runner menjadikan kedai restoran mamak sebagai pusat operasi, dimana penghantar akan bertemu dengan pengurus, dan melakukan semakan penghantaran. Namun berikutan pengembangan operasi mereka, pada tahun 2016 mereka bakal mempunyai pejabat, membolehkan mereka menyimpan barangan untuk tujuan penghantaran.

Mengenai perancangan masa hadapan mereka, Kanashan berharap dapat menambah bilangan penghantar Neon Runner, bagi memenuhi permintaan pelanggan. Lebih banyak kawasan di Lembah Klang yang bakal diliputi perkhidmatan mereka. Kanashan turut berkongsi akan meluaskan sayap operasi perkhidmatan mereka ke bandar lain, seperti Singapura dan Bangkok.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd