Cari @ Amanz

DSC01267

Asus Zenfone 5 LTE (A500KL)
Chipset Qualcomm MSM8926 Snapdragon 400
CPU 1.2GHz empat-teras Cortex-A7
GPU Adreno 305
Memori 2GB RAM
Storan 16GB, microSD sehingga 64GB
Kamera Utama 8MP auto-focus, rakaman video 1080p
Kamera Hadapan 2MP, rakaman video 720p
Skrin 5.0-inci IPS, 1280×720 piksel, 294 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi, A-GPS, Bluetooth 4.0
Sistem Android 4.4 KitKat, ZenUI
Bateri Li-Po 2110 mAh

Awal tahun lalu Asus kembali ke dunia telefon pintar menerusi pelancaran siri Zenfone, membawakan rekaan peranti menarik disamping menawarkannya pada harga rendah. Zenfone 4, Zenfone 5, dan Zenfone 6 antara menjadi watak utama dalam portfolio Asus ini yang dilihat mampu menarik ramai pengguna dengan rekaan peranti yang elegan dan bergaya. Malah, setiap model didatangkan dengan spesifikasi dan harga menarik yang sememangnya menjadi daya tarikan kepada ramai pengguna.

Asus Zenfone 5 boleh dikatakan model paling popular dalam kesemua siri Zenfone ini kerana menjadi penghubung antara model berspesfikasi rendah dan model berspesifikasi tinggi. Ia menawarkan spesifikasi pertengahan – menampilkan skrin 5-inci dengan kamera 8-megapiksel, sekaligus mensasarkan kepada majoriti golongan pengguna.

Asus Zenfone 5 LTE dilihat meneruskan lagi legasi kegemilangan Asus Zenfone 5 yang ditingkatkan daripada keupayaan 3G kepada 4G LTE. Cip pemprosesan juga dipertingkatkan kepada Snapdragon 400, yang mana kini setara dengan peranti berspesifikasi pertengahan di pasaran. Dengan harga RM709, Asus Zenfone 5 LTE dilihat bersaing dengan Motorola Moto G (2014), HTC Desire 610, dan Xiaomi Redmi Note 4G yang menawarkan keupayaan LTE pada harga sederhana.

Rekabentuk

Ketika awal siri Asus Zenfone diperkenalkan, satu perkara yang menarik perhatian saya adalah rekaan elegan pada kesemua peranti siri ini. Kemasan seolah-olah metal pada bahagian bawah peranti boleh dikatakan sebagai halwa mata apabila melihat peranti ini buat kali pertama. Selain itu, butang kawalan kapasitif Back, Home, dan Multitasking dengan sentuhan ikonografi Asus di bawah skrin sedikit sebanyak memberi sentuhan sempurna pada bahagian hadapan peranti ini. Bezel yang hadir pada bahagian ini juga seimbang dan secara keseluruhannya, ia sebuah peranti yang menarik dan mempunyai daya tarikan yang tinggi.

Bahan binaan yang ditampilkan pada bahagian belakang peranti adalah diperbuat daripada plastik namun ia masih mempamerkan ciri-ciri elegannya tersendiri. Secara peribadi saya merasakan ia sangat kukuh di tangan walaupun terasa sedikit licin apabila dipegang. Di bahagian belakang ini juga boleh dibuka, menampilkan satu slot untuk micro-SIM dan juga slot microSD bagi penambahan memori sehingga 64GB. Walau bagaimanapun, bateri yang didatangkan bersama peranti tidak boleh ditukar seperti mana trend pada kebanyakan telefon pintar masa kini.

DSC01267

Pada bahagian atas peranti terdapat earphone jack 3.5mm yang saya kira tidak memberi masalah apabila ia diletakkan di poket seluar sambil disambungkan pada earphone. Pada bahagian tepinya pula menempatkan butang kuasa dan butang pelarasan suara serta terdapat satu slot micro-USB pada bahagian bawah. Fungsi USB On-the-Go turut disokong secara terbina bagi memudahkan anda membuat penghantaran fail dari pemacu USB atau cakera keras mudah-alih.

Bercakap mengenai paparan peranti, Zenfone 5 LTE didatangkan bersama skrin IPS 5-inci dengan resolusi paparan HD 1280×720. Dari segi kualiti, saya suka kecantikan skrin paparan peranti ini yang mana menampilkan warna yang jitu dan mudah dilihat di bawah sinaran matahari. Teknologi paparan Asus TruVivid turut bersinar pada skrin dengan 291ppi ini yang membuatkan paparan kelihatan cantik dan sejujurnya, sebarang titik piksel agak sukar dilihat pada pandangan kasar peranti ini.

Android 4.4 KitKat dengan ASUS ZenUI

Dari segi sistem operasi, Zenfone 5 LTE didatangkan dengan Android 4.4.2 KitKat bersama-sama dengan ASUS ZenUI secara terbina. Ia menampilkan antaramuka yang ringkas dan moden berserta dengan elemen mendatar (flat UI) pada sejumlah besar ikon ZenUI ini.

Dari segi launcher, secara peribadi saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menggunakannya, baik dari segi prestasi dan customization. Ia membolehkan pengguna meletakkan aplikasi di dalam folder dengan semudah drag-and-drop sesuatu ikon aplikasi di atas ikon aplikasi lain. Pada ruangan app drawer, ia menampilkan rekaan layout 4×5 yang cukup kemas dan pengguna boleh menyusun kesemua aplikasi mengikut kesukaan atau pilihan secara abjad.

Zen UI 1

Satu perkara menarik mengenai peranti Asus Zenfone adalah fungsi ekstra yang ditawarkan secara terbina. Salah satu fungsi kesukaan saya ialah fungsi What’s Next yang mana ia menunjukkan kesemua aktiviti harian saya dalam bentuk timeline mudah. Selain itu, saya juga sukakan fungsi Do It Later yang membantu saya menguruskan aktiviti yang perlu dilakukan seperti membalas emel dan membaca dokumen penting pada hari tersebut. Satu lagi fungsi menarik adalah Party Link yang membolehkan anda menghantar fail secara peribadi bersama sekumpulan rakan anda dengan akses kata laluan.

Zen UI 2

Kamera

Salah satu perkara yang menjadi fokus siri Zenfone 5 dan 6 adalah kameranya yang hadir dengan teknologi PixelMaster. Menurut Asus, ia menawarkan hasil gambar yang lebih berkualiti selain membantu ketika penggambaran low-light. Pada Asus Zenfone 5 LTE, ia didatangkan dengan kamera 8-megapiksel f/2.0 bersama sokongan LED flash sebagai pembantu penggambaran malam.

Dari segi prestasi, saya boleh katakan prestasi kameranya agak baik terutamanya pada keadaan yang kurang bercahaya. Saya suka bagaimana teknologi PixelMaster menghasilkan sebuah output gambar yang kurang mempunyai masalah noise walaupun gambar tersebut tidak menggunakan sebarang bantuan LED flash. Ia juga kurang mengeluarkan sebarang hasil yang tidak memuaskan seperti masalah blur yang mana diatasi dengan fungsi image stabilization yang terbina bersama-sama teknologi PixelMaster ini.

[amanz-gallery]

Apa yang saya cukup sukakan mengenai siri Asus Zenfone adalah perisian kameranya yang kaya dengan pelbagai fungsi menarik. Antaranya fungsi Depth of Field yang mampu menghasilkan gambar dengan blur di belakang objek seolah-olah diambil dari sebuah DSLR. Secara peribadi, saya sukakan fungsi Selfie yang menggunakan lensa belakang dan kamera akan mengambil gambar secara automatik apabila berjaya mengesan muka pengguna. Ia juga hadir dengan fungsi Time Rewind yang berfungsi seperti Time Shift di BlackBerry 10 yang membolehkan anda memilih situasi yang betul-betul bersedia sahaja untuk dijadikan sebagai gambar akhir. Untuk pengguna wanita, fungsi Beautification juga didatangkan bersama yang mana mampu mencerahkan kulit anda ke tahap flawless tanpa bantuan Camera360. Beberapa fungsi lain seperti HDR, Panorama, Miniature, GIF Animation, dan Smart Remove juga hadir bersama bagi menceriakan lagi kelengkapan fotografi mudah-alih anda.

Zenfone 5 7

Audio

Asus Zenfone 5 LTE mungkin boleh dikatakan cemerlang dari segi binaan, paparan, dan juga antaramuka namun satu perkara yang mendukacitakan adalah prestasi audio peranti ini. Walaupun ia didatangkan dengan penataan audio SonicMaster, ia tidak memberi impak yang jelas pada kelantangan pembesar suara peranti ini. Bunyi yang dihasilkan agak perlahan dan kadangkala saya terlepas panggilan orang tersayang akibat bunyi ringtone yang sukar untuk didengari. Perkara inilah yang menjadi kurang kesenangan saya pada peranti ini dan ia perlu diberi perhatian oleh pihak Asus pada keluaran peranti akan datang.

Prestasi

Ramai yang mengatakan Zenfone 5 versi Intel Atom agak kurang memuaskan apabila memainkan permainan bergrafik tinggi. Antara isunya, terdapat masalah lengah masa dan kadangkala tidak dapat langsung memainkan permainan tersebut akibat perbezaan instruction set (cip ARM dengan cip x86). Perkara ini tidak berlaku pada Zenfone 5 LTE kerana ia didatangkan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 400 yang menjanjikan prestasi terbaik untuk permainan bergrafik sederhana-tinggi. Malah, kesemua permainan boleh dimainkan tanpa masalah lebih-lebih lagi aplikasi yang berkaitan dengan emulator seperti DraStic DS Emulator yang hanya menyokong cip pemprosesan ARM.

Sebagai percubaan, saya memainkan permainan Goat Simulator yang saya kira agak berat untuk dimainkan pada peranti yang tidak didatangkan dengan spesifikasi tinggi. Saya pernah cuba memainkan permainan ini pada Zenfone 5 yang menggunakan cip Intel Atom dan hasilnya kurang memuaskan dengan cacatan kadar frames per second (FPS) yang agak rendah. Namun, pada Zenfone 5 LTE, FPS yang dicatatkan tinggi dan boleh memainkan permainan ini dengan cemerlang tanpa masalah.

Prestasi keseluruhannya juga tidak memberi sebarang masalah lengah masa dan saya kira ini adalah salah satu peranti terbaik apabila bercakap mengenai kadar kelancaran. Membuat multitasking aplikasi juga sangat lancar dan jarang saya menerima aplikasi yang direload semula apabila bertukar ke satu aplikasi ke satu aplikasi lain. Perkara ini semestinya dijayakan dengan memori 2GB RAM yang semestinya satu keperluan minima bagi kaki multitasking aplikasi.

Zenfone 5 8

Bateri

Zenfone 5 LTE bateri 4Salah satu aspek yang menjadi kritikan pengguna Asus Zenfone 5 (bukan Lite) versi Intel Atom adalah jangka hayat bateri yang agak mengecewakan. Pada penggunaan sebenar, Asus Zenfone 5 dengan Intel Atom hanya mampu bertahan sekitar 8 jam dengan screen on time (SoT) pada 3 jam sahaja. Ini agak merunsingkan sekiranya anda menggunakan peranti dari awal pagi dan tidak mampu bertahan sebelum tiba ke rumah semula pada lewat petang atau malam hari.

Menariknya, perkara ini tidak berlaku pada Asus Zenfone 5 LTE yang mana baterinya memperlihatkan prestasi yang jauh lebih lama berbanding versi Intel Atom. Daripada penggunaan saya sendiri, bateri Zenfone 5 LTE dilihat mampu mencapai masa bertahan selama 1 hari dengan SoT selama 5 jam. Bermakna, sekiranya saya keluar pada awal pagi, saya masih lagi boleh menggunakan peranti sehingga ke lewat malam dan cas semula pada keesokan harinya.

Apa yang menarik lagi, Zenfone 5 LTE hanya didatangkan dengan kapasiti bateri sebesar 2110 mAh yang boleh dikatakan kecil bagi sebuah peranti dengan skrin 5-inci. Ini dijayakan dengan penggunaan cip pemprosesan Snapdragon 400 yang sememangnya terkenal dengan penggunaan tenaga rendah disamping mampu menawarkan prestasi yang sangat baik bagi peranti pintar. Selain Zenfone 5 LTE, perkara ini juga dibuktikan melalui prestasi bateri Motorola Moto G (2014) yang mampu bertahan sehari dengan kapasiti bateri hanya sebesar 2040 mAh.

Rumusan

Satu persoalan yang akan ditanya, adakah Zenfone 5 LTE masih berbaloi dibeli pada tahun 2015? Saya katakan ya berdasarkan apa yang ditawarkan melalui peranti ini. Walaupun kita dihadirkan dengan lambakan peranti baru seperti Samsung Galaxy A3 dan Oppo Mirror 3, Asus Zenfone 5 LTE dilihat lebih cemerlang dari segi prestasi kerana ia didatangkan dengan 2GB RAM yang mampu memenuhi keperluan multitasking anda. Jangan memandang enteng dengan kebolehan cip tahun 2014 iaitu Snapdragon 400 kerana ia sangat menjimatkan tenaga sekaligus mampu menjana ketahanan bateri selama 5 jam SoT dengan masa bertahan selama 1 hari penuh. Selain menjimatkan bateri, ia juga sebuah cip pemprosesan yang sangat lancar untuk prestasi harian dan mampu menjalankan permainan bergrafik sederhana-tinggi dengan pantas tanpa sebarang masalah. Satu lagi perkara menarik, pihak Asus bakal menawarkan Android 5.0 Lollipop pada pertengahan tahun ini bagi sejumlah besar peranti Zenfone termasuk Asus Zenfone 5 LTE ini.

Zenfone 5 1

Sungguhpun begitu, ada beberapa perkara yang kurang menjadi tarikan saya antaranya kelantangan pembesar suara yang boleh dikatakan agak perlahan dan tidak memadai bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Ia tidak begitu didengari apabila diletakkan di dalam poket seluar ataupun berada pada situasi yang agak bising. Satu lagi perkara yang kira menjadi kekurangan peranti ini adalah ketiadaan NFC yang sedikit sebanyak menyukarkan saya untuk menyambungkan peranti NFC seperti lensa-kamera atau menghantar fail melaluinya.

Pro
  • Skrin HD 720p memberikan paparan dan darjah pandangan yang baik
  • Ketahanan bateri yang agak lama dan mampu bertahan selama sehari
  • Prestasi permainan dan keseluruhan sangat pantas berbanding versi Intel Atom
  • Aplikasi kamera penuh dengan fungsi menarik seperti Selfie dan Depth of Field
  • Rekaan peranti yang premium bagi sebuah peranti kelas pertengahan
Kontra
  • Kelantangan pembesar suara peranti agak perlahan
  • Tiada sokongan NFC

Apapun secara keseluruhannya, Asus Zenfone 5 LTE dilihat menawarkan peningkatan dari segi prestasi dan jangka hayat bateri yang lebih lama berbanding Zenfone 5 versi Intel Atom. Ia juga tampil dengan rekaan yang elegan menjadikan ia salah satu peranti dengan rekaan menarik disamping menawarkan memori 2GB RAM dan kepantasan LTE dalam satu pakej pintar. Akhir kata, saya suka apa yang ditawarkan Asus untuk sebuah peranti kelas pertengahan dan sememangnya ia salah sebuah peranti yang bernilai untuk anda pada sekitar RM700.

Zenfone 5

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd