HTC Mempunyai Kejutan Produk Baru Pada Tahun 2015 Ini
HTC

HTC Mempunyai Kejutan Produk Baru Pada Tahun 2015 Ini

Diterbitkan pada Jan 1, 2015 oleh .

Dengan permulaan tahun 2015, semestinya pelbagai syarikat bersedia dengan pelbagai penawaran baru untuk tahun ini, sekaligus bersaing dengan sihat bersama-sama pelbagai syarikat lain dalam industri sama. HTC sendiri telah menjadualkan sebuah acara pengenalan peranti baru dibawah keluarga Desire pada minggu hadapan di CES 2015. Tetapi bukan itu sahaja, dan HTC dilihat mempunyai pelbagai produk menarik untuk diperkenalkan sepanjang tahun 2015 ini.

Melalui Twitter, Jeff Gordon yang memegang jawatan Pengurus Komunikasi Global Dalam-Talian untuk HTC mengatakan portfolio peranti HTC untuk tahun 2015 ini sangat baik.

Pada masa yang sama, beliau turut mengatakan HTC mempunyai sebuah kejutan menarik untuk diperkenalkan pada tahun ini kepada para pengguna.

HTC pada tahun 2014 sendiri telah hadir dengan telefon pintar HTC One M8 yang menerima pujian pelbagai pihak kerana rekabentuk dan kualiti peranti, disamping hadir dengan peranti pada kategori kamera aksi, dan juga tablet Nexus 9.

HTC sebelum ini dijadualkan untuk memperkenalkan jam tangan pintar mereka tersendiri – tetapi ia dilihat ditangguhkan kepada tahun 2015 ini.

Jadi, apakah kemungkinan produk baru yang akan memberikan kejutan kepada pengguna? Adakah ia HTC One M9? Jam tangan pintar? HTC Re Camera baru? Ataupun sebuah kategori produk baru daripada HTC?


TIPS & ULASAN