Kemaskini Android 5.0 Lolipop merupakan salah satu perkara yang dinantikan ramai pengguna seluruh dunia untuk peranti mereka. Menariknya, kini Samsung menjadi antara yang terawal memperkenalkan kemaskini berkenaan, dimana pengguna Samsung Galaxy S5 di Malaysia kini sudah boleh menaik-taraf peranti mereka kepada versi Android 5.0 Lolipop.
Buat masa ini, kemaskini ini masih belum diperkenalkan dalam bentuk OTA lagi, sebaliknya pengguna perlu menaik-taraf ia dengan menggunakan perisian Samsung Kies. Pengguna hanya perlu mempunyai perisian Kies 3.0 terpasang pada komputer anda, dan seterusnya menghubungkan peranti menggunakan kabel USB, dan memulakan proses kemaskini.
Kemaskini baru ini membawakan penggunaan Android 5.0 Lolipop – dimana beberapa kemaskini kecil pada bahagian Touchwiz disertakan, selain pengoptimasian pada bahagian bateri dan notifikasi. Pihak Samsung mengatakan yang mana memori baki selepas penaik-tarafan akan menjadi kepada 950MB paling minimum. Pengguna juga turut memerlukan ruangan kosong sekurang-kurangnya sebanyak 3GB pada peranti sebelum dapat memulakan kemaskini Android 5.0 Lolipop ini.
Bagi pengguna Samsung Galaxy S5, anda boleh memuat-turun kemaskini Android 5.0 Lolipop ini hari ini menggunakan Kies, ataupun mungkin turut boleh menantikan kemaskini dalam bentuk OTA yang akan hadir dalam masa terdekat ini.
- Muat-Turun Samsung Kies 3.0