Acer Mengumumkan Telefon Pintar Liquid Jade S dan Liquid Z410 – Menyokong 4G LTE, Cip 64-bit

Acer Mengumumkan Telefon Pintar Liquid Jade S dan Liquid Z410 – Menyokong 4G LTE, Cip 64-bit

Diterbitkan pada Jan 4, 2015 oleh .

Bermula hari ini, kita akan dapat melihat sejumlah produk baru diumumkan pelbagai pengeluar peranti elektronik seluruh dunia bersempena dengan acara CES 2015 yang berlangsung di Amerika Syarikat. Memulakannya, Acer hari ini telah mengumumkan dua telefon pintar baru, iaitu Acer Liquid Jade S dan juga Acer Liquid Z410 4G.

Acer Liquid Jade S

Acer Liquid Jade S merupakan kemaskini kepada keluarga Liquid J sebelum ini, dimana ia membawakan rekaan yang lebih kurang sama, tetapi lebih berkuasa dan berfungsi lebih pantas – termasuk sokongan rangkaain 4G LTE.

Liquid Jade S ini dilengkapi dengan cip 64-bit daripada MediaTek, iaitu MT6752M, skrin bersaiz 5-inci, kamera belakang 13-megapixel dengan aperture F1.8, dan juga kamera hadapan 5-megapixel. Seperti biasa, beberapa fungsi Acer khusus turut disertakan termasuk AcerExtend yang membolehkan pengguna mengawal peranti menggunakan komputer riba, serta fungsi rakaman khusus untuk selfie. Acer Liquid Jade S ini turut dilengkapi dengan sokongan arahan suara untuk tujuan rakaman gambar – terutamanya untuk rakaman selfie.

Liquid Jade S hadir dengan Android 4.4 KitKat, tetapi akan dikemaskini kepada Android 5.0 Lolipop pada tahun ini. Ia akan mula dijual di rantau Asia bermula Januari ini. Ia turut hadir dengan sokongan satu-SIM ataupun dwi-SIM (hibrid mikro-SD) – dan penawarannya bergantung kepada setiap pasaran.

Selain Acer Liquid Jade S, pihak Acer turut memperkenalkan satu lagi telefon pintar baru, dinamakan sebagai Acer Liquid Z410. Telefon pintar ini hadir dengan sokongan rangkaian 4G LTE, cip 64-bit, dan turut dilengkapi dengan sokongan audio yang baik serta bateri yang tahan lama.

Acer Liquid Z410

Melalui spesifikasi, ia menggunakan skrin 4.5-inci IPS qHD, cip pemprosesan empat-teras 64-bit, kamera hadapan 2-megapixel dengan rakaman-luas 80-darjah, serta kamera belakang 5-megapixel. Acer mengatakan ia turut menyertakan bateri dengan masa bertahan 400 jam atau 5.5 jam masa berbual pada peranti ini.

Disamping itu, peranti ini turut dilengkapi dengan speaker hadapan DTS Studio Sound, selain butang akses pantas Acer RapidKey.

Acer Liquid Z410 ini akan ditawarkan bermula bulan Februari ini dirantau Asia.


TIPS & ULASAN