Carian
Acer Menyertakan Aspire V 17 Nitro Dengan Intel RealSense 3D – Komputer Riba Lain Dengan Intel Core Gen-5
January 4, 2015 Aman

Acer telah memperkenalkan sejumlah produk baru mereka pada hari ini, dan termasuk bersama-sama pengenalan produk tersebut adalah kemaskini kepada keluarga komputer riba mereka. Salah satu komputer riba yang menerima kemaskini adalah komputer riba memfokuskan gaming daripada Acer, Aspire V 17 Nitro dengan skrin bersaiz 17.3-inci.

Acer Aspire V 17 Nitro hadir dengan paparan skrin lebih besar, dilengkapi cip pemprosesan Intel Core i7-4710HQ (Generasi Ke-4), NVIDIA GeForce GTX 860M (4GB DDR5), memori sebanyak 16GB RAM, dan ruangan storan sebesar 1TB (dilengkapi dengan penambahan 128GB atau 256GB SSD).

Acer Aspire V17 Nitro Black Edition

Apa yang menjadi fokus utama pada komputer riba baru ini daripada Acer adalah penyertaan sokongan Intel RealSense 3D bersama-sama dengannya.

Melalui penerangan Acer, Intel RealSense 3D menyertakan kamera biasa, kamera infrared dan juga projektor lazer infrared. Dengan gabungannya, ia membolehkan menilai kedalaman dan bentuk objek dihadapannya, dan boleh digunakan bersama-sama beberapa perisian untuk menggunakan sokongan teknologi 3D seumpama Kinect yang disertakannya.

Acer Aspire V17 Nitro Black Edition

Acer mengatakan ia akan memudahkan pengguna dalam beberapa perkara, termasuk antaranya adalah mengawal permainan menggunakan gesture, mengimbas wajah, ataupun mengimbas projek untuk digunakan dalam percetakkan 3D.

Selain daripada Acer Aspire V 17 Nitro yang masih menggunakan cip Intel Core generasi ke-empat, pihak Acer turut memperkenalkan kemaskini kepada sejumlah komputer riba mereka dengan menggunakan cip Intel Core generasi kelima. Namun, pihak Acer tidak menyatakan lagi versi apakah yang digunakan, dan mungkin diketahui pada acara CES 2015 yang berlangsung pada minggu ini.

Antara komputer riba yang menerima kemaskini adalah termasuk Aspire R13, Aspire S7 Ultrabook dan juga Aspire Switch 12.

Acer Aspire CES 2015

Selain cip pemprosesan Intel Core generasi kelima, pihak Acer turut melengkapkan sokongan sambungan tanpa wayar yang lebih pantas dengan menyertakan sokongan wireless 802.11ac. Acer mengatakan ia membawakan kelajuan lebih tiga kali ganda berbanding versi sebelum ini yang menggunakan spesifikasi 802.11an. Kemaskini rangkaian ini ditawarkan untuk Acer Aspire R13 dan juga Aspire S7 Ultrabook sahaja.

Komen