Xiaomi Telah Menjual Lebih 61 Juta Telefon Pintar Sepanjang 2014

Xiaomi Telah Menjual Lebih 61 Juta Telefon Pintar Sepanjang 2014

Diterbitkan pada Jan 4, 2015 oleh .

Bersama-sama dengan pengenalan Redmi 2, pihak Xiaomi turut sama berkongsi maklumat berkenaan perkembangan syarikat mereka secara keseluruhan. Menurut Bin Lin daripada Xiaomi, mereka telah menjual 61.12 juta telefon pintar sepanjang tahun 2014 lepas yang mana memperlihatkan peningkatan sehingga 227% pada tahun lepas.

Xiaomi 2014

Xiaomi turut mengatakan angka ini meletakkan mereka sebagai pengeluar peranti terkemuka dari China. Ini boleh dikatakan perkembangan yang amat sihat dan pantas untuk sebuah syarikat yang bermula pada April 2010 lepas.

Xiaomi pada tahun 2014 yang lepas telah mula memperluaskan penawaran mereka ke luar China, termasuk di Malaysia. Mereka menggunakan penjualan terus kepada pelanggan melalui laman rasmi Mi.com mereka, sekaligus mengurangkan kos pemasaran dan juga kos-kos pengedaran dan yang berkaitan dengannya.

Perkara ini membolehkan pihak Xiaomi menawarkan peranti pada harga rendah berbanding beberapa pengeluar peranti yang lain di pasaran. Beberapa syarikat juga turut telah mula mengikut jejak untuk menawarkan peranti terus kepada pelanggan, dan antaranya adalah Huawei Honor dan juga Asus.

Pada tahun ini, dengan Xiaomi yang kini dalam kedudukan lima pengeluar peranti teratas dunia, semestinya ramai yang menantikan perkembangan mereka, serta apakah produk baru yang akan ditawarkan oleh Xiaomi. Mereka telah memperkenalkan Redmi 2 hari ini, dan turut dijangka akan memperkenalkan sebuah peranti flagship dalam masa beberapa minggu lagi.


TIPS & ULASAN