Cari @ Amanz

Facebook kini telah menjadi salah satu laman sosial yang digunakan ramai dalam berkongsi maklumat dan kemaskini berkaitan mereka. Ia sekaligus menjadikan Facebook sebagai salah satu halaman profil utama, dan semestinya semua tidak inginkan sebarang perkara yang tidak diingini terjadi pada akaun Facebook mereka.

Terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan dalam memastikan akaun Facebook anda terus selamat, dan tidak terancam dengan perkara-perkara yang tidak diingini.

Mengaktifkan Sokongan Dwi-Pengesahan

Untuk memastikan dan mengelak akaun anda daripada diakses oleh mereka yang tidak diingini, salah satu perkara yang anda boleh lakukan adalah dengan mengaktifkan sokongan dwi-pengesahan. Dengan mengaktifkannya, ia akan meminta anda memasukkan kod khusus selepas anda log masuk menggunakan kata laluan biasa, sebelum anda dapat mengakses ke Facebook.

Facebook Dwi-Pengesahan

Kod khusus ini biasanya akan dihantar ke nombor telefon anda, ataupun anda turut boleh menggunakan aplikasi Facebook yang terpasang pada peranti mudah-alih untuk mendapatkan kod khusus untuknya.

Perkara ini menjadikan akaun Facebook anda lebih selamat, dan sukar untuk diakses oleh pengguna lain – berbanding dengan hanya menggunakan kata laluan sahaja. Selain hanya kata laluan, anda juga turut boleh mengawal pelayar web apakah yang boleh mengakses akaun anda pada halaman tetapan Facebook Sekuriti.


Memastikan Kemaskini Di Facebook Anda Hanya Dilihat Oleh Mereka Yang Dikehendaki Sahaja

Facebook sedia mempunyai fungsi Share pada perkhidmatan mereka dalam membolehkan pengguna berkongsi perkongsian pihak lain bersama-sama rakan anda. Fungsi ini mungkin berguna untuk Facebook Page yang sememangnya ditujukan untuk pengguna umum, tetapi mungkin tidak begitu sesuai untuk pengguna persendirian.

Facebook Privasi

Pengguna boleh mengubah tetapan perkongsian mereka ketika menulis status ataupun memuat-naik gambar. Ia boleh ditetapkan sama ada awam (boleh diakses oleh semua), diakses oleh rakan-rakan yang ditambah anda di Facebook sahaja, ataupun dilihat oleh hanya anda seorang. Bagi pengguna individu, kami nasihatkan anda tetapkan ia kepada perkongsian dikalangan rakan-rakan anda sahaja, dan mungkin sesetengah perkongsian yang dilihat ingin dikongsikan dengan terbuka ditetapkan secara awam.

Anda juga turut boleh mengubah tetapan perkongsian lama anda kepada persendirian ataupun dikalangan rakan-rakan anda dengan satu klik – sekaligus mengawal pelbagai perkongsian lama anda, termasuk gambar-gambar yang dimuat-naik ke Facebook.

Cara mudah untuk anda mengawalnya adalah ke halaman tetapa privasi, dan seterusnya pada bahagian siapakah yang boleh melihat perkongsian lama, pilih untuk mengehadkan perkongsian lama. Anda juga boleh menetapkan siapa yang melihat perkongsian anda di halaman yang sama.

Facebook Privasi


Mengawal Aplikasi Yang Mempunyai Akses Ke Profil Facebook Anda

Pada hari ini, boleh dikatakan terdapat pelbagai perkhidmatan web yang menggunakan sokongan log masuk menggunakan akaun Facebook. Mungkin adakalanya anda tidak mengemari sesuatu aplikasi dan tidak menggunakannya lagi – tetapi terlupa untuk memadam integrasinya dengan akaun Facebook anda.

Untuk tujuan tersebut, pihak Facebook menyediakan sebuah halaman tetapan khusus, membolehkan anda memadamkan integrasi akaun tersebut dengan profil Facebook anda, selain turut mengawal apakah info yang diakses oleh sesuatu aplikasi berkenaan.

Facebook App


Dengan mengubah tetapan yang tidak dikehendaki ini, pengguna boleh mengehadkan bagaimana info mereka diakses di laman Facebook, selain pada masa yang sama menjadikan akaun mereka lebih selamat dan tidak mendedahkan info mereka kepada mereka-mereka yang tidak dikehendaki.

Anda juga turut boleh melakukan kemaskini berkala untuk akaun Facebook anda dalam memastikan aplikasi yang mengakses info anda, selain mengehadkan apakah yang dikongsikan oleh anda dan kepada siapa anda kongsikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd