Intel Memperkenalkan Cip Pemprosesan Intel Core Generasi Ke-Lima – Menjimatkan Tenaga, Grafik Lebih Baik

Intel Memperkenalkan Cip Pemprosesan Intel Core Generasi Ke-Lima – Menjimatkan Tenaga, Grafik Lebih Baik

Diterbitkan pada Jan 5, 2015 oleh .

Intel CoreAcer pada penghujung minggu lepas telah pun memperkenalkan komputer riba berasaskan cip Intel Core generasi ke-lima. Ketika itu, Intel masih lagi belum mengumumkan kemaskini keluarga Broadwell ini secara rasminya. Hari ini, pengeluar cip pemprosesan terkemuka tersebut secara rasminya memperkenalkan cip pemprosesan terbaru daripada mereka ini.

Intel menjanjikan cip pemprosesan ini menawarkan kuasa pemprosesan yang lebih baik, dan pada masa yang sama mengurangkan tenaga yang digunakan olehnya. Melalui perbandingan dengan cip Haswell tahun lepas, Intel mengatakan Broadwell menggunakan tenaga kurang 20 ke 30% berbanding generasi sebelumnya – sekaligus membolehkan anda menggunakan komputer yang menggunakannya untuk masa yang lebih lama.

Disamping itu, paparan grafik 3D pada cip Broadwell juga turut dipertingkatkan sehingga 22%, selain menawarkan beberapa fungsi baru – termasuk kebolehan untuk memainkan kandungan 4K tanpa sebarang masalah.

Seperti generasi sebelum ini, cip generasi kelima ini juga akan hadir dalam variasi Intel Core i3, Core i5, dan juga Core i7, selain model Pentium dan juga Celeron. Kesemua ini dibangunkan menggunakan rekaan 14nm, dan direkabentuk untuk digunakan pada komputer riba, desktop dan sebagainya. Intel juga seperti biasa menekankan kepada penggunaan komputer dua-dalam-satu dengan pengenalan cip pemprosesan baru ini.

Beberapa produk baru yang menggunakannya telah pun mula diumumkan pada CES 2015, dan mungkin kita akan melihat komputer riba dan produk yang menggunakannya tidak lama lagi di pasaran tempatan.

Lanjut : Intel Core Gen-5


TIPS & ULASAN