Pelayar Web Spartan Pada Windows 10 Dilaporkan Menyertakan Sokongan Cortana Dan Stylus

Pelayar Web Spartan Pada Windows 10 Dilaporkan Menyertakan Sokongan Cortana Dan Stylus

Diterbitkan pada Jan 9, 2015 oleh .

Microsoft sedia sinonim dengan pelayar web Internet Explorer yang dikritik ramai walaupun telah mula hadir dengan pelbagai sokongan teknologi web baru. Untuk mengatasinya, kini mereka dilihat sedang membangunkan sebuah pelayar web baru dengan nama kod “Spartan”. Lanjutan daripada gambaran rekaan awal, kini beberapa info awal berkenaan pelayar web terbaru tersebut turut hadir ke arena web.

Spartan

Pelayar web baru ini dikatakan akan membawakan sokongan untuk membuat anotasi sekiranya pengguna menggunakan stylus – seperti pada Surface Pro 3 sebagai contonya. Menggunakannya, pengguna boleh membuat nota terus pada sesuatu halaman web berkenaan, dan terus menyimpannya di OneDrive untuk rujukan akan datang.

Disamping itu, pihak Microsoft juga turut dijangka akan mengintegrasikan sokongan Cortana pada pelayar web baru berkenaan – berkemungkinan untuk menarik pengguna untuk lebih aktif menggunakan enjin carian Bing daripada Microsoft.

Menurut laporan sama juga, ia dilaporkan Microsoft akan menawarkan pelayar web “Spartan” ini melalui Windows Store kepada pengguna desktop, selain turut menawarkan versi berasingan kepada tablet dan telefon pintar. Ini sekaligus memberikan gambaran yang mana Internet Explorer masih akan dikekalkan, dan “Spartan” ini ditawarkan sebagai pelayar web alternatif.

Spartan

Buat masa ini, pihak Microsoft masih tidak berkongsi sebarang info rasmi berkaitan pelayar web baru ini kepada umum. Mereka sedia menjadualkan sebuah acara khusus pada bulan ini, dimana Microsoft dijangka akan berkongsi beberapa info lanjut berkaitan penawaran Windows 10 kepada pengguna umum – dan berkemungkinan kita akan mendengar lebih lanjut mengenainya ketika itu.


TIPS & ULASAN