Cari @ Amanz

Saygus bukan suatu nama yang kita biasa dengar untuk telefon pintar. Terkini, bersempena dengan CES 2015, Saygus telah memperkenalkan sebuah telefon pintar baru – Saygus V2 (disebut V-Squared) yang mana turut dipanggil mereka sebagai “Super Smartphone” dengan beberapa ciri-ciri memfokuskan multimedia.

Telefon pintar bersaiz 5-inci ini hadir dengan beberapa ciri-ciri menarik bukan sahaja memfokuskan multimedia, tetapi juga dengan rekaan yang kalis air dan juga tahan lasak. Bahagian skrinnya dilengkapi dengan sokongan Gorilla Glass 4, serta bahagian tepi skrin yang amat nipis.

Saygus V2

Dari segi spesifikasi, Saygus V2 ini hadir dengan cip pemprosesan Snapdragon 801, dan juga Adreno 330GPU. Ia turut dilengkapi dengan memori sebanyak 3GB RAM, ruangan storan sebanyak 64GB – dan ditambah dengan dua mikro-SD sehingga 128GB setiap satu, menjadikan jumlah ruangan storan pada peranti ini boleh menyimpan sehingga 320GB.

Untuk audio pula, ia dilengkapi dengan speaker hadapan daripada Harman Kardon, selain turut hadir dengan pengimbas cap jari untuk sekuriti tambahan. Untuk bahagian kamera pula, ia dilengkapi kamera belakang 21-megapixel dengan sokongan OIS (penstabilan imej optikal), dan juga kamera hadapan 13-megapixel untuk selfie.

Saygus V2

Saygus V2 menggunakan bateri berkapasiti 3100mAh yang turut dilengkapi dengan sokongan penjimatan bateri. Bagi para pengemar Android atau pembangun, pihak Saygus melengkapkan ia dengan sokongan Root, serta kebolehan untuk multi-boot terus daripada mikro-SD.

Secara kasar, ia dilihat Saygus ingin menarik minat pengguna dalam arena penawaran spesifikasi. Pengeluarnya dijangka akan membuat pra-tempahan untuk peranti ini tidak lama lagi, dan dilihat mungkin ditawarkan untuk pengguna di negara barat sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd