Carian
Mari Mulakan Tahun 2015 Dengan Menambah Ilmu Dan Pengetahuan Berkaitan Dunia Teknologi
January 11, 2015 Aizan Fahri

Sekiranya masih belum terlambat, kami ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada semua pembaca Amanz, peminat-peminat tegar teknologi, pengguna-pengguna internet di Malaysia, dan juga rakyat Malaysia amnya. Tahun 2015 bakal sekali lagi menjanjikan sajian teknologi yang terkini untuk semua orang mendapat manfaat daripadanya.

Sempena tahun baru 2015 yang baru menjengah masuk, kami mempunyai satu persoalan untuk anda semua: adakah anda bersedia untuk mengharungi dunia teknologi yang semakin pesat berkembang? Adakah pengetahuan anda dalam bidang teknologi mencukupi? Jika anda merasakan tidak, kami ingin berkongsi dengan anda beberapa kursus IT atas talian yang ditawarkan secara percuma melalui laman Massively Open Online Course edX.

CS50x – Pengenalan Kepada Sains Komputer

Kursus ini ditawarkan oleh Harvard University, merupakan kursus pengenalan kepada komputer sains serta seni pengaturcaraan. Menurut laman edX, kursus ini sesuai untuk mereka yang sedang menuntut bidang ini dan juga untuk mereka yang tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang pengaturcaraan.

Antara topik-topik yang disertakan dalam kursus ini ialah termasuk penstrukturan data, pengurusan sumber, keselamatan, dan juga pembangunan web dengan set-set soalan yang berteraskan masalah dunia-sebenar seperti kriptografi, forensik, dan juga permainan. Bahasa pengaturcaraan yang akan anda pelajari melalui kursus ini ialah HTML & CSS, C, PHP, Javascript, dan juga SQL.


Pengenalan Kepada Sains Komputer & Pengaturcaraan Menggunakan Python

Sains Komputer EdxKursus ini ditawarkan oleh Massachusetts Institute of Technology (MIT), merupakan kursus pertama dalam urutan 2 kursus pengenalan kepada komputer sains, dimana ia diikuti oleh kursus Introduction to Computational Thinking & Data Science. Kedua-dua kursus ini direka untuk membantu mereka yang tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang sains komputer, sekaligus membantu golongan ini untuk belajar dan berfikir serta menyelesaikan masalah dengan menulis kod komputer.

Matlamat kursus ini ialah menyediakan para pelajar dengan pengetahuan asas sains komputer dalam pelbagai topik-topik yang berbeza supaya pada akhirnya mereka yang mempelajari kursus ini mempunyai daya fikir sebagaimana seorang pelajar sains komputer untuk menyelesaikan masalah yang memerlukan kebolehan menulis kod komputer. Kursus ini merangkumi asas pengaturcaraan dalam bahasa Python, penggunaan algoritma ringkas, dan juga asas dalam penstrukturan data.


Membangunkan Pengalaman Penggunaan Mesra Peranti Mudah-Alih

Dengan berkembang pesat dunia perkomputeran peranti mudah-alih, sudah pastinya pengetahuan berkenaan pembangunan aplikasi untuk peranti pintar menjadi satu keperluan untuk pembangun aplikasi masa kini. Kursus ini direka untuk menyediakan selok-belok pengetahuan untuk membina aplikasi yang mampu mengubah hidup pengguna dengan menekankan aspek rekabentuk antaramuka aplikasi untuk mencipta pengalaman kepenggunaan yang memuaskan.

Berbanding dengan dua kursus yang dinyatakan di atas, kursus ini menyatakan bahawa pengalaman dalam bahasa pengaturcaraan Java dan juga Objective-C diperlukan jika anda berminat untuk mengikutinya.


Audit : Memandangkan sebahagian daripada kursus yang ditawarkan melalui edX ini menetapkan durasi masa pembelajaran, edX menyertakan fungsi untuk anda mengaudit kursus pada laman mereka. Menurut laman FAQ mereka, kesemua kursus pada edX boleh diaudit secara percuma tanpa membatalkan sebarang akses kepada bahan-bahan yang disertakan sekali pada kursus yang berkenaan.

Komen