Cari @ Amanz

Lenovo Vibe X2
Pemproses MediatTek MT6595m True8Core
RAM 2 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (Tiada sokong MikroSD)
Kamera Utama 13 MP
Kamera Depan 5 MP
Skrin 5″ LCD FHD (441 ppi)
Bateri 2300 mAh
SIM/Telefoni DWi SIM Mikro + Nano 4G LTE
Harga RM 1199

Jenama Lenovo ialah jenama yang semakin mendapat tempat di hati pengguna peranti pintar di Malaysia. Saya sedari komen dari peminat tegar Lenovo kini sama fanatiknya seperti peminat Apple dan Samsung. Apakah keistimewaan Lenovo sehingga mampu mempunyai set penyokong “ultras” mereka di lama ini. Lenovo Vibe X2 ialah peranti Lenovo pertama yang saya akan ulas. Tetapi sebelum ulasan dilakukan mari lihat pandang pertama peranti yang kini mendapat nama jolokan Lenovo Kuih Lapis.

Jolokan kuih lapis wujud kerana tubuh Vibe X2 mempunyai kemasan berlapis pelbagai warna. Ianya memberi kesan seperti pelangi dan adalah rekaan yang tidak pernah kami lihat sebelum ini. Keseluruhan tubuh peranti berlamina ini diperbuat daripada bahan logam.

Dari segi spesifikasi Vibe X2 diperkasakan pemproses 8 teras MediatTek MT6595m. Empat teras pada kelajuan 2 GHZ dan empat lagi teras pada kelajuan 1.7 GHZ. RAM adalah sebesar 2 Gigabyte dengan muatan dalaman 32 Gigabyte. Tiada sokongan penambahan memori dalaman menggunakan kad MikroSD disini. Kemampuan optik pula ialah 13 Megapixel pada kamera utama dan 5 Megapixel pada kamera hadapan. Pada bahagian kanan peranti terdapat butang kuasa dan suara. Pada bahagian kiri terdapat slot SIM. Slot mengecas MikroUSB terletak pada bahagian atas manakala jack fon telinga terletak pada bahagian atas. Peranti ini tidak mempunyai ketahanan kalis air ataupun debu.

Bercakap tentang keunikan, Vibe X2 mempunyai sistem dwi SIM yang berlainan dari apa yang kami lihat sebelum ini. Apabila talam SIM dikeluarkan dari tubuh, terdapat dua slot SIM yang terletak bersebelah diantara satu sama lain. Satu untuk MikroSIM dan satu lagi untuk NanoSIM. Rekaan talam kad SIM sebegini juga belum pernah saya lihat sebelum ini.

Secara keseluruhan kemasan Vibe X2 adalah baik walaupun sedikit aneh kerana berlapis. Rekaan peranti yang agak berkotak adalah sedikit kurang selesa untuk dipegang. Ini adalah kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya secara peribadi menggunakan peranti dengan bahagian tepi yang melengkung. Apabila menggenggam Vibe X2 yang bersegi, ia mengingatkan kami kepada rekaan Samsung Galaxy S2. Jadi bolehlah dikatakan jika anda biasa menggunakan peranti yang bahagian tepinya melengkung, sisi bersegi  Vibe X2 akan terasa sedikit tidak selesa untuk digenggam

[amanz-gallery]


Antaramuka

Antaramuka Vibe UI digunakan dan harus saya katakan rekaan antaramuka ini kurang menarik perhatian. Ikon-ikon dan elemen antaramuka kelihatan seperti peranti awal 2010. Ia masih menggunakan gradient dan skema warnanya juga agak kusam. Terdapat pilihan untuk mengubah tema dengan aplikasi Theme Center. Anda boleh memilih satu daripada enam pilihan yang disertakan. Tidak seperti pada peranti Xiaomi kami tidak menjumpai cara untuk memuat turun tema baru dengan mudah. Sungguhpun dari segi estetik Vibe UI tidak menyerlah, fungsi tambahan yang disertakan adalah menarik.

Sebagai contoh terdapat ruangan khas tutorial untuk anda menggunakan kesemua fungsi tambahan yang wujud di dalam peranti ini. Yang paling saya gemari ialah pada skrin tetapan, terdapat tab khas Feature yang membolehkan adan mengaktifkan atau mematikan fungsi tambahan. Pada peranti pengeluar lain fungsi tambahan disorokkan di dalam pelbagai sub menu yang lain. Ini menyukarkan anda untuk mencari fungsi tambahan apakah yang ada. Tindakan Lenovo mewujudkan tab khas Feature ini adalah sangat mesra pengguna terutamanya kepada mereka yang baru pertama kali menggunakan peranti buatan mereka seperti saya. Diharap pengeluar peranti Android lain boleh mengikut jejak Lenovo untuk meletakkan tab khas pada skrin tetapan khas untuk fungsi tambahan.

Kami difahamkan pada Lenovo Vibe Z2 Pro anda boleh mengubah antaramuka Vibe UI kepada Android stock. Berita buruk di sini ialah fungsi mengubah kepada Android stock tidak disertakan pada Vibe X2. Kami tidak tahu mengapa ianya tidak disertakan sekali kerana kami yakin jika pilihan untuk menjadikan Vibe X2 sebuah peranti Android asli ia akan menarik minat lebih banyak pengguna untuk memilikinya.




Penutup

Setakat ini kami menyukai apa yang kami lihat. Dari segi rekaan peranti ini melarikan diri dari rekaan standard dengan menggunakan kemasan berlapis. Spesifikasinya juga menarik dan setakat ini kami tidak menyedari sebarang masalah sela masa ketika menggunakannya. Antaramuka Vibe UI mungkin tidak menarik tetapi pepatah ada berkata jangan menilai buku dari  muka depannya. Saya rasakan pelbagai fungsi tambahan yang disertakan akan memberi nilai kepada wang yang dibelanjakan untuk memiliki Vibe X2. Tunggu ulasan penuh saya dalam masa beberapa minggu dari sekarang.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan tubuh berlapis dengan skema warna unik membuatkan peranti ini kelihatan unik berbanding peranti lain di pasaran
  • Vibe UI mempunyai pelbagai fungsi tambahan dan skrin tetapan yang mesra pengguna
  • Spesifikasi sederhana tinggi pada harga yang menarik.
KONTRA dan Kekurangan
  • Rekaan antaramuka yang kurang menarik berbanding pesaing
  • Tiada sokongan kad MikroSD

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd