Google Bakal Hadir Dengan Perkhidmatan Terjemahan Suara-Teks Masa-Nyata Tidak Lama Lagi

Google Bakal Hadir Dengan Perkhidmatan Terjemahan Suara-Teks Masa-Nyata Tidak Lama Lagi

Diterbitkan pada Jan 12, 2015 oleh .

Bagi anda yang mengikuti perkembangan dalam arena permesejan, mungkin sedia maklum akan fungsi Skype Translator daripada Microsoft, yang membolehkan anda membuat terjemahan masa-nyata ketika berbual dengan rakan yang menggunakan bahasa berlainan – sekaligus memudahkan anda berbual dengan rakan-rakan di negara lain dan bahasa berbeza dengan mudah.

Google Translate Android

Terkini, Google turut dilihat bakal memperkenalkan sokongan yang lebih kurang sama tidak lama lagi. Fungsi ini dijangka akan ditawarkan melalui aplikasi Google Translate untuk telefon pintar.

Daripada apa yang dikongsikan NYTimes, melalui kemaskini baru kelak, aplikasi Google Translate akan membolehkan anda terjemahkan input suara kepada bahasa pilihan dalam bentuk masa-nyata, sekaligus memudahkan lagi proses komunikasi. Google Translate sedia menyokong lebih kurang 90 bahasa, sementara perkhidmatan input suara daripada Google pula sedia menyokong pelbagai bahasa, termasuk bahasa Malaysia dan juga beberapa dialek negeri.

Pada hari ini, pihak Google sedia menawarkan sokongan terjemahan suara pada perkhidmatan mereka, tetapi ia mengambil beberapa saat sebelum ia diterjemah dan diperlihatkan semula kepada pengguna. Melalui kemaskini baru kelak, ia dijangka akan diterjemah dalam bentuk masa-nyata, sekaligus mengelakkan lengah masa dalam respon pengguna.

Disamping itu, NYT juga mengatakan Google kelak akan menawarkan sokongan untuk terjemahan pantas bagi papan tanda dari satu bahasa ke bahasa lain – terutamanya memudahkan bagi mereka yang mengembara. Pada hari ini, sokongan tersebut sedia disertakan, tetapi memerlukan pengguna merakamkan gambar papan tanda tersebut terlebih dahulu, yang mana boleh dikatakan mengambil sedikit masa sebelum pengguna mengetahui apa yang cuba disampaikan.

Fungsi baru ini dijangka akan diperkenalkan pada kemaskini akan datang – tanpa sebarang tarikh pasti mengenainya diumumkan.


TIPS & ULASAN