Pandang Pertama : Dell XPS 13 – Komputer Riba Yang Cantik Dengan Rekaan Bezel Nipis

Pandang Pertama : Dell XPS 13 – Komputer Riba Yang Cantik Dengan Rekaan Bezel Nipis

Diterbitkan pada Jan 13, 2015 oleh .

Dell pada CES 2015 yang diadakan pada minggu lepas, telah memperkenalkan sebuah komputer riba baru dibawah keluarga XPS, iaitu Dell XPS 13. Masih mengekalkan rekaan yang premium, pihak Dell hadir dengan binaan berasaskan alumnium untuk rekaan badan, selain turut menyertakan rekaan berasaskan karbon fiber untuk bahagian papan kekunci pada komputer riba ini.

Namun, apa yang menjadi tarikan utama pada komputer riba ini adalah rekaan skrinnya. Dell XPS 13 membawakan bahagian tepi skrin yang amat kecil berbanding kebanyakkan komputer riba lain dipasaran. Dengan bahagian tepi yang amat kecil, ia sekaligus memberikan kesan terhadap saiz keseluruhan komputer riba ini, dan membuatkan Dell XPS 13 adalah komputer riba bersaiz paling kecil didunia dengan skrin bersaiz 13-inci.

Dell XPS 13

Bercakap mengenai penawaran skrin, pihak Dell menawarkan dua variasi komputer riba dibawah Dell XPS 13, dimana model asas hadir dengan panel tanpa sokongan sentuhan dan hanya menyokong paparan pada resolusi 1080p sahaja, sementara model lagi satu yang hadir dengan sokongan skrin sentuh dan juga menyokong paparan sehingga QuadHD. Kedua-duanya dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel Core i5 generasi kelima, selain turut hadir dengan sokongan penambahan kepada Intel Core i7 untuk model QuadHD.

Penggunaan bahagian tepi skrin yang nipis juga memberikan kesan terhadap lokasi kamera hadapan. Pada Dell XPS 13, kamera hadapan diletakkan pada bahagian penjuru bawah-kiri. Namun, daripada penggunaan kami, penggunaan video hadapan tidak begitu bermasalah walaupun diletakkan di lokasi tersebut dan masih membolehkan pengguna membuat panggilan video melalui Skype dan sebagainya tanpa sebarang masalah.

Dell XPS 13

Untuk ruangan port pula, pihak Dell melengkapkannya dengan sokongan USB, Display Port, Active USB (jika ingin menggunakan untuk pengecasan menggunakan kabel USB), dan juga slot untuk kad-SD. Bahagian speaker pada komputer riba ini diletakkan selari dengan port-port tepi, dimana speaker hadir pada bahagian kiri dan kanan komputer riba. Kami tidak dapat mencuba kualiti audionya, memandangkan berada di tempat acara.

Pada bahagian kiri komputer riba ini pula, pihak Dell meletakkan sebuah butang khusus untuk menyemak baki bateri yang terdapat pada komputer riba Dell XPS 13 ini. Perkara ini sekaligus akan membolehkan pengguna mengetahui baki bateri mereka, walaupun tanpa membuka komputer riba dan melihatnya melalui sistem. Pihak Dell mengatakan XPS 13 ini boleh digunakan sehingga 15 jam lamanya pada resolusi 1080p, dan turut menawarkan sebuah aksesori khusus untuknya yang menawarkan masa bateri tambahan.

Secara keseluruhan, kami merasakan Dell XPS 13 ini sebuah komputer riba yang amat cantik, apatah lagi ia dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel Core generasi kelima, serta hadir dengan Windows 8.1 yang terkini. Dell XPS 13 ini telah mula dijual dipasaran Malaysia, dimana model asasnya ditawarkan pada harga RM3599. Kami akan cuba membawakan ulasan penuh untuk komputer riba ini dalam masa terdekat.


TIPS & ULASAN