Microsoft pada harini telah mengumumkan dua model Lumia yang dikhususkan atas faktor mampu milik, namun membawakan spesifikasi yang tampak bagus. Kedua-dua model ini berharga dibawah RM400 dan pasti menjadi pilihan anda yang mahukan telefon kedua.
Lumia 435 adalah telefon Windows Phone 8.1 dengan kemaskini Lumia Denim, dikuasakan oleh cip pemprosesan 1.2GHz Snapdragon 200 dwi-teras, memori sebanyak 1GB RAM dan kapasiti storan terbina dalam sebesar 8GB serta slot Mikro-SD yang menyokong penambahan kapasiti storan sehingga 128GB. Kapasiti baterinya sebesar 1560 mAh, kamera belakang 2 Megapixel, kamera hadapan VGA
Telefon kelas asas ini turut menyediakan peta HERE Maps secara percuma dan hadir pada empat pilihan warna iaitu hijau, oren, putih dan hitam. Ia dijual pada harga 69 Euro (~ RM292) dan dijangka akan memasuki pasaran tempatan bulan hadapan.
Satu lagi penawaran dari Microsoft adalah Lumia 532 iaitu peranti membawakan cip 1.2GHz Snapdragon 200 empat teras, memori 1GB RAM dan turut hadir dengan Lumia 532 Dwi-SIM, pada harga mampu milik.
Telefon ini dilengkapi dengan sistem operasi Windows Phone 8.1 termasuk kemaskini Lumia Denim, jadi ia disertai dengan Action Center, Word Flow, dan Cortana pada beberapa negara. Antara spesifikasi lain termasuklah kamera belakang 5-Megapixel, kamera hadapan resolusi VGA, skrin bersaiz 4-inci, dan storan dalaman sebesar 8GB serta menyokong penyimpanan melalui kad Mikro-SD sebesar 128GB.
Telefon ini akan mula dijual disekitar Eropah dan rantau Asia Pasifik pada bulan hadapan pada harga sekitar 79 Euro (~ RM 335). Mungkin kita bakal melihat penawarannya untuk pasaran tempatan bulan hadapan.