Google Glass merupakan projek kaca mata pintar yang telah dimulakan oleh bahagian Google X sebelum ini, dan agak hangat diperkatakan pada tahun 2013 yang lepas. Pada tahun lepas, pelbagai informasi semasa berkaitan dengannya agak kurang, dan kini ia dilihat Google ingin membawa Google Glass setapak kehadapan.
Menurut laporan terbaru, Google Glass kini menjadi sebuah entiti berasingan daripada Google X, dan bahagian Google Glass kini akan dipantau oleh Tony Fadell. Dengan ke fasa berikutnya, pihak Google membuatkan beberapa perubahan, termasuk menamatkan program Google Glass Explorer. Google sebelum ini sedia bekerjasama dengan beberapa pihak untuk hadir dengan rekaan dan aksesori khusus untuknya, tetapi ia masih tidak diketahui lagi bilakah produk Google Glass baru akan hadir daripada mereka.
Tony Fadell merupakan CEO kepada Nest Labs yang telah diambil-alih oleh pihak Google pada tahun lepas. Beliau sebelum ini turut terkenal dengan iPod generasi pertama yang hadir daripada rekaan dan konsep awal beliau.
Kini, dengan Google Glass dibawah beliau, mungkin kita akan dapat melihat beberapa perubahan rekaan pada produk berkenaan dan menjadikan ia lebih menarik dan mesra pengguna. Mungkin juga ini memberikan petanda yang mana pihak Google telah melangkah ke fasa seterusnya dalam projek kaca mata pintar mereka sebelum ia dipasarkan secara meluas di pelbagai negara.
- Baca : Pandang Pertama Google Glass