Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Alpha yang kami ulas tahun lalu ialah peranti Samsung yang paling cantik pernah mereka hasilkan. Kombinasi tubuh aluminium dan rekaan yang lebih kontemporari mengubah persepsi lama Samsung sebuah syarikat yang menghasilkan peranti plastik yang huduh. Bulan lalu ada ura-ura keluara Alpha akan dihentikan pengeluarannya dan digantikan dengan siri Galaxy A. Galaxy A akan mengekalkan binaan premiuam Alpha tetapi menggunakan spesifikasi yang lebih rendah. Dalam ualasan yang kami hasilkan kami menyatakan bahawa kelemahan paling nyata Alpha ialah hayat bateri yang terlalu rendah. Jadi adakah Galaxy A5 dapat memperbaiki kelemahan yang wujud pada Alpha?

Samsung Galaxy A5
Pemproses 1.2GHz Empat Teras Snapdragon 410
RAM 2 GB
Muatan Dalaman 16 GB dengan sokongan kad MikroSD 64 GB
Kamera Utama 13 MP dengan flash (1080P)
Kamera Depan 5 MP (1080P)
Skrin 5″ SAMOLED 720P (294 PPI)
SIM/Telefoni SIM Nano/4G
Bateri 2300 mAh
Harga RM 1199

Dari hadapan perbezaan diantara Galaxy A5 dan Alpha adalah tidak ketara. Ia masih mempunyai butang home fizikal pada bahagian hadapan dan tubuh aluminium yang sama. Perubahan pertama dilakukan pada saiz skrin. Galaxy A5 mempunyai skrin 5″ berbanding 4.7″ pada Alpha. Panel belakang yang dahulunya diperbuat daripada bahan bergetah boleh dibuka kini diperbuat daripada logam dan tidak boleh dibuka. Ya buat pertama kalinya dalam sejarah peranti Samsung tidak dilengkapi dengan bateri yang boleh dibuka.

Pemproses 64 Bit 1.2 GHz empat teras Snapdragon digunakan dengan RAM sebesar 2 Gigabyte. Muatan dalaman pula ialah 16 Gigabyte dengan sokongan MikroSD sehingga 64 Gigabyte. Kemampuan optik ialah 13 Megapixel pada bahagian belakang dan 5 Megapixel pada bahagian hadapan dengan sokongan Wide Selfie yang diperkenalkan pada Note 4. Kapasiti bateri pula ialah 2300 mAh, saiz yang lebih besar berbanding Alpha yang hanya mempunyai bateri 1860 mAh.

Kami rasakan rekaan A5 adalah jauh lebih baik berbanding Alpha. Bucu yang sebelum ini agak tajam dan menyukarkan genggaman sudah diperbaiki. Panel belakang mungkin tidak boleh dibuka tetapi membuatkan peranti terasa lebih tegap dan selesa untuk dipegang. Butang kuasa dan suara kedua-duanya juga diperbuat daripada logam. Ini mungkin peranti paling cantik dihasilkan Samsung setakat ini. Sedikit kekurangan berlaku pada talam SIM dan MikroSD yang terbonjol keluar dari tubuh peranti. Kenapa ia dibonjolkan kami tidak tahu kerana rekaan semasa seperti pada HTC One M8, talam sebegini tidak terbonjol keluar.

Pembesar suara mono masih terletak di bahagian belakang. Kami mengharapkan Samsung akan mengikut rekaan semasa dengan menggunakan pembesar suara stereo pada bahagian hadapan tetapi nampaknya mereka masih belum bersedia melakukan perubahan rekaan ini.

Secara keseluruhan rekaan Galaxy A5 adalah sangat baik dan memperbaiki beberapa kelemahan yang ada pada Alpha sebelum ini. Ianya sangat cantik, tegap dan sekali lagi kami rasakan adalah rekaan paling cantik yang pernah dihasilkan Samsung.

[amanz-gallery]


Antaramuka TouchWiz

TouchWiz UI banyak menerima tempelak negatif daripada kami kerana ianya bukanlah antaramuka yang paling responsif. Peranti Samsung yang berkuasa tinggi seperti Note 4 masih dihantui masalah sela masa sungguhpun mempunyai RAM dan pemproses yang cukup berkuasa. Pada Galaxy A5 kami menyedari beberapa perubahan yang dilakukan Samsung bagi menyelesaikan masalah ini.

Pertama sekali hampir kesemua fungsi tambahan seperti Smart Stay dan Multi Window tidak diaktifkan ketika pertama kali anda menghidupkan peranti. Kami menyedari masalah sela masa masih berlaku tetapi kini berkurangan dengan drastik. Animasi transisi yang menyebabkan sela masa nampaknya masih dikekalkan. Sungguhpun perubahan yang dilakukan ini kecil tetapi impaknya terhadap penggunaan Galaxy A5 adalah ketara. Secara purata kami akan menggunakan peranti yang diberi untuk ulasan selama 3 hari sahaja tetapi kerana masalah sela masa yang menjadi trademark Samsung berjaya dikurangkan kami telah menggunakan Galaxy A5 sebagai peranti kegunaan harian selama lebih seminggu! Rasa marah dan jengkel yang selalunya membuak-buat akibat masalah TouchWiz tidak berlaku kali ini. Jadi kami harus katakan syabas kepada Samsung yang menyedari fungsi tambahan TouchWiz yang mereka sertakan adalah lebih baik tidak diaktifkan secara terus. Terpulang kepada pemilik untuk mengaktifkannya apabila perlu.

Fungsi baru yang disertakan kali ini ialah kemampuan kustomasi tema. Samsung sejak kebelakangan ini menghadapi saingan hebat dari peranti buatan China. Peranti-peranti China ini hampir kesemuanya menyokong fungsi kustomasi tema dan kemunculan fungsi ini pada peranti Samsung adalah dijangkakan. Terdapat 5 tema yang boleh dipilih. Malang sekali tidak pula terdapat fungsi memuat turun tema baru seperti yang wujud pada peranti Xioami. Secara peribadi kami bukan peminat perubahan tema tetapi ini hanyalah Samsung yang mengikut kehendak majoriti pengguna sekarang.

Sepanjang tempoh ulasan Galaxy A5 berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah. Aplikasi kesemuanya berfungsi tanpa terhenti secara tiba-tiba. Tatalan skrin adalah lancar dengan hanya sedikit masalah sela masa ketika mengakses skrin multi tasking.

Samsung Galaxy A5

 

Galaxy A5

Galaxy A5

Galaxy A5

 


Kamera

Kamera utama A5 ialah sebesar 13 Megapixel manakala kamera hadapan pula ialah 5 Megapixel. Ia mampu merakam video pada resolusi HD Penuh. Seperti biasa pada peranti Samsung, aplikasi kamera didatangi dengan beberapa pratetapan yang memudahkan anda mengambil gambar. Pilihan pratetapan adalah terhad jika dibandingkan dengan Galaxy Alpha. Sungguhpun mempunyai sensor yang lebih besar ia tidak menyokong fungsi Selective Focus. Antara pratetapan yang disertakan adalah Rearcam Selfie dan Wide Selfie yang membolehkan anda mengambil selfie secara berkumpulan. Terdapat juga fungsi mengesan pergerakan tangan untuk mengambil gambar selfie secara automatik. Pada resolusi penuh 13 Megapixel gambar diambil pada nisbah 4:3. Kekuatan Samsung masih lagi terserlah di sini dengan kepelbagaian fungsi terbina.

 

Berikut ialah beberapa contoh gambar yang kami ambil menggunakan kamera A5.  Gambar pertama ialah gambar luaran dalam keadaan cuaca yang baik.

Ini pula adalah dua gambar di dalam kawasan tertutup yang terang dengan pencahyaan semula jadi dan lampu kalimantang.


Dua gambar di bawah ini pula diambil di dalam keadaan pencahayaan yang rendah dengan gambar kedua adalah percubaan mengambil gambar di dalam mod mikro.


Akhir sekali ialah gambar diambil pada waktu malam dengan pencahayaan rendah.

 

 

Kesimpulan Ujian Gambar

Kualiti gambar adalah sederhana. Dari segi kualiti kami rasakan ianya setanding dengan kualiti gambar yang diambil menggunakan sebuah Galaxy Alpha. Dalam keadaan gambar diambil pada pencahayaan yang sempurna, gambar yang diambil kelihatan amat baik. Penghasilan warna yang tepat dengan objek yang diambil. Dalam situasi pencahayaan rendah kualiti juga adalah baik dengan sedikit sahaja masalah noise. Gambar yang diambil masih lagi terang. Ketajaman foto juga sedikit kurang di dalam mod makro. Dari segi kemampuan kamera kami rasakan ianya lebih baik dari kemampuan Galaxy Alpha tetapi di belakang Galaxy Note 4. Peranti Samsung memang terkenal dengan kemampuan mengambil gambar yang baik. Sungguhpun A5 adalah peranti kelas pertengahan, kemampuan kameranya adalah lebih baik dari pesaing yang pesaing dengan spesifikasi setanding.

Video

Samsung Galaxy A5 mampu mengambil video pada resolusi 1080P. Tiada mod tambahan seperti gerak perlahan disertakan. Kualiti video yang diambil adalah baik dan begitu juga dengan audio. Galaxy A5 tidak mempunyai sokongan OIS dan jika anda menonton video di bawah akan akan menyedari video bergegar apabila adanya pergerakan. Inilah satu-satunya kekurangan yang kami sedari.


Penanda Aras

Markah penanda aras Samsung Galaxy A5 adalah mengecewakan. Pemproses 64 Bit Snapdragon 410 sepatutnya memberikan 25% lebih banyak kuasa memproses berbanding Snapdragon 400 tetapi dari markah yang dicatatkan ini tidak berlaku. Mari bandingkan markah penanda aras A5 dengan Motorola Moto G 2014 dan Xiaomi Redmi Note 4G yang menggunakan pemproses Snapdragon 400. Jelas kelihatan perbezaannya adalah kecil. Malah markah yang dicatatkan oleh Redmi Note 4G adalah lebih baik dalam beberapa ujian. Ini mungkin kerana majoriti aplikasi Android masih belum mengoptimasikan penggunaan pemproses 64 Bit. Harga jualan A5 adalah lebih mahal berbanding Moto G 2015 dan Redmi Note. Oleh itu jika anda mahukan peranti yang lebih berkuasa pada harga yang lebih mampu milik A5 bukanlah peranti yang anda cari.



Bateri

Pada penggunaan paling berat (menggunakan GPS, banyak bergerak dan menggunakan talian 4G) peranti ini bertahan hampir 6 setengah jam (skrin aktif 4 jam 40 minit) . Pada penggunaan sederhana ia mampu digunakan sehingga 9 jam (skrin aktif 6 jam) dan pada penggunaan paling ringan ia bertahan hampir 22 jam (skrin aktif 6 jam 27 minit) . Jadi bolehkah disimpulkan hayat bateri 2300 mAh A5 adalah sederhana sahaja. Ia lebih baik dari Galaxy Alpha yang kami ulas tahun lalu. Sebagai perbandingan, Moto G 2014 yang mempunyai spesifikasi yang hampir serupa dengan bateri hanya 2070 mAh mampu digunakan hampir 8 jam. Jadi dari segi bateri Moto G 2014 memberikan kemampuan bateri yang lebih baik.

 


Kesimpulan

Samsung Galaxy A5 ialah peranti yang menjadi taruhan Samsung untuk memenangi semula pegangan pasaran merak yang semakin mengecil akibat kemunculan peranti dari China. Galaxy A5 mempertaruhkan rekaan premium dengan spesifikasi sederhana bagi menakluki semula pasaran. Dari segi rekaan memang Galaxy A5 dengan mudah mengalahkan pesaing-pesaing lain. Bukan hyperbola apabila kami mengatakan rekaan A5 adalah rekaan tercantik yang mereka pernah hasilkan. Badan diperbuat daripada aluminium sangat selesa dipegang berbanding peranti pesaing yang masih menggunakan plastik.

Kemampuan memproses adalah sederhana. Tidak banyak bezanya jika dibandingkan dengan peranti 1.2 GHz Snapdragon 400 seperti Moto G 2014 yang kini di pasaran. Galaxy A5 ialah antara peranti 64 Bit yang kini mula membanjiri pasaran. Untuk tugasan harian kami rasakan kuasa memproses yang dihasilkan adalah cukup memandai. Tiada masalah aplikasi yang terhenti secara tiba-tiba sepanjang tempoh ulasan. Masalah sela masa TouchWiz masih wujud tetapi berjaya dikurangkan. Kesemua fungsi tambahan TouchWiz tidak diaktifkan semasa anda mula menghidupkan peranti. Pujian harus diberikan kepada Samsung kerana akhirnya mendengar pendapat pengguna.

Kemampuan bateri adalah sederhana iaitu hampir 7 jam pada penggunaan berat menggunakan talian 4G. Hayat bateri lebih baik daripada Alpha tetapi belum menandingi hayat Moto G 2014 yang mempunyai spesifikasi hampir setanding. Kemampuan kamera juga sangat baik baik sebuah peranti kelas sederhana. Dengan mudah mengalahkan kualiti gambar pesaing dengan spesifikasi setanding di pasaran.

Bagi menutup ulasan kami mengesyorkan anda memiliki Galaxy A5 kerana ia adalah kombinasi spesifikasi sederhana dengan rekaan premium. Tiada masalah besar yang kami alami sepanjang tempoh ulasan.Satu-satunya masalah yang perlu diatasi Samsung ialah persepsi pengguna dan harga yang lebih mahal dari pesaing. Dengan harga jualan RM 1199 ia bolehlah dikatakan mahal untuk peranti kelas pertengahan. Tetapi harus kami ingatkan peranti lain di dalam kelas yang sama tidak mempunyai kemasan logam yang menarik seperti Galaxy A5.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan premium logam pada sebuah peranti kelas pertengahan. Rekaan tercantik yang dihasilkan Samsung
  • Fungsi kustomasi tema.
  • Hayat bateri yang bagus.
  • Kemampuan optik yang baik dengan pelbagai pemalam tambahan Samsung. Kualiti gambar yang baik jika dibandingkan dengan pesaing.
KONTRA dan Kekurangan
  • Harga yang agak mahal bagi peranti kelas pertengahan
  • Pembesar suara mono

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd