Cari @ Amanz

Masalah cermin dipecahkan dan beg diragut bukan perkara baru. Pencuri menaiki motor akan mensasarkan individu yang meletakkan beg di atas tempat duduk penumpang. Apabila mereka tiba di lampu isyarat cermin dihentak sehingga pecah dan beg diragut dengan mudah. Mangsa selalunya adalah dikalangan wanita kerana mereka yang kerap membawa beg dan ketiadaan tempat meletak beg yang lebih selamat di dalam kereta. Model terkini Perodua MyVi diperlihatkan minggu lalu dan ia mempunyai cangkuk anti ragut terbina. Cangkuk terletak pada sebelah kanan tempat duduk penumpang dan direka khas untuk meletakkan beg tangan wanita. Kedudukan ini akan menyukarkan peragut untuk mencapai beg selepas tingkap dipecahkan. Syabas diucapkan kepada Perodua kerana mencipta cangkuk anti ragut ini. Diharap pengeluar kenderaan untuk pasaran tempatan lain boleh meletakkan cangkuk yang serupa pada kenderaan keluaran mereka. Inovasi seterusnya yang kami mahukan dari pengeluar kenderaan tempatan ialah cangkuk khas untuk plastik pasar malam (tidak lagi disangkut pada tombol kunci pintu) dan ruangan penyimpan barang kereta kalis bau durian. Kami yakin jika dua inovasi ini hanya boleh dilakukan oleh anak tempatan kerana ianya memang masalah spesifik negara kita. Ayuh Proton dan Perodua, jadikanlah impian kami ini kenyataan.

B7dJM52CEAAwaD0

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd