HTC sedia menghantar jemputan untuk acara Mobile World Congress 2015, dimana mereka menjadualkan pengumuman peranti mereka pada 1 Mac kelak. Kini, pihak Bloomberg dilihat mempunyai beberapa info tambahan berkaitan dengan telefon pintar daripada HTC yang bakal diumumkan itu.
Ia dikatakan HTC One M9 kelak akan menyertakan kamera belakang 20-megapixel dan juga kamera hadapan HTC UltraPixel – sekaligus memperlihatkan perubahan yang dilakukan mereka berbanding dua generasi sebelum ini yang menyertakan kamera belakang berasaskan Ultrapixel. Disamping itu, peranti yang menggunakan Snapdragon 810 ini turut dijangka akan dilengkapi dengan sokongan video yang lebih baik, termasuk integrasi teknologi Dolby 5.1.
Telefon pintar HTC baru ini dijangka dilengkapi dengan antaramuka Sense 7 yang turut menyertakan sokongan geolokasi lebih baik.
Pada acara yang sama juga, pihak HTC dijangka akan mengumumkan jam tangan pintar pertama mereka dengan sokongan perkhidmatan Under Armour untuk sokongan kecergasan.