Microsoft bakal mengadakan acara Windows 10 dimana mereka dijangka berkongsi beberapa perkara dan kemaskini berkaitan dengan sistem operasi generasi baru mereka. Seperti semua sedia maklum, ia membawakan perubahan pada ekosistem Windows secara keseluruhannya, dimana Microsoft memfokuskan satu sistem operasi untuk pelbagai saiz skrin.
Pihak Microsoft pernah bercakap secara ringkas mengenainya sebelum ini, dimana mereka menyasarkan untuk memudahkan pembangun – dengan mereka hanya perlu membangunkan satu aplikasi sahaja untuk penggunaan pada telefon pintar, tablet dan juga komputer – selain memudahkan lagi pengguna menggunakan sistem operasi mereka pada pelbagai saiz skrin.
Selari dengannya juga, kini sebuah laporan baru hadir mengatakan pihak Microsoft mungkin memperlihatkan sebuah peranti berbentuk hibrid yang membawakan gabungan perubahan daripada telefon ke laptop – mungkin juga merupakan salah satu usaha Microsoft dalam mendemonstrasikan kebolehan aplikasi yang berubah mengikut saiz skrin.
Ia tidak diketahui sama ada peranti tersebut sekadar prototaip sahaja ataupun akan dipasarkan kepada umum.
Sebelum ini, kita pernah melihat Asus Padfone yang mana membawakan gabungan tablet dan telefon, sementara Ubuntu Edge pula memperlihatkan penggunaan telefon sebagai CPU yang boleh di hubungkan ke monitor untuk digunakan sebagai komputer.