Samsung Dilaporkan Tidak Akan Menggunakan Cip Qualcomm Untuk Galaxy S6

Samsung Dilaporkan Tidak Akan Menggunakan Cip Qualcomm Untuk Galaxy S6

Diterbitkan pada Jan 22, 2015 oleh .

Sejak permulaan tahun 2015, ramai yang menantikan apakah akan dibawakan oleh Samsung melalui telefon pintar Galaxy S generasi baru mereka. Lanjutan daripada beberapa laporan sebelum ini, kini Bloomberg mengatakan yang mana Samsung tidak akan menggunakan cip Qualcomm pada peranti baru mereka kelak.

Sebaliknya, Samsung dikatakan akan menggunakan cip pemprosesan mereka sendiri, iaitu daripada keluarga Exynos.

Menurut laporan sama, Samsung telah sedia menguji cip Qualcomm Snapdragon 810, tetapi memilih untuk tidak menggunakannya kerana masalah menjadi panas dengan cepat berbanding penggunaan cip mereka tersendiri.

Buat masa ini, yang menggunakan cip terbaru daripada Qualcomm adalah LG dengan LG G Flex 2, serta Xiaomi dengan Xiaomi Mi Note Pro. Kedua-dua telah mengumumkan peranti mereka, namun masih belum memasarkannya kepada umum.

Samsung sendiri telah mula menggunakan cip pemprosesan Exynos pada peranti mereka seperti Galaxy S5 dan Galaxy Note 4, malah versi Note 4 yang dipasarkan di Malaysia dilengkapi dengan cip Exynos, dan dilaporkan menawarkan pemprosesan yang lebih baik berbanding Snapdragon sebelum ini.

Samsung dijangka akan memperlihatkan dan melancarkan peranti mereka pada bulan Mac kelak.


TIPS & ULASAN