Cari @ Amanz

WhatsApp telah memperkenalkan sokongan klien web pada awal pagi ini, dan semestinya ramai yang masih tertanya-tanya berkenaan bagaimanakah untuk menggunakannya. Untuknya, kami menyediakan tutorial ringkas ini, membolehkan anda menghubungkan peranti ke web dan menggunakan WhatsApp terus melalui web.

Muat-Turun Aplikasi WhatsApp Terkini

Untuk pengguna Android, anda terlebih dahulu perlu memuat-turun dan menggunakan versi WhatsApp terkini. Melalui percubaan kami, untuk menggunakan WhatsApp Web ini, anda memerlukan WhatsApp versi 2.11.498 (atau terkini). Kemaskini untuk Android diperkenalkan secara berperingkat, memerlukan anda untuk menantikan seketika sebelum menerimanya. Jika tidak ingin menunggu untuk tempoh yang lama, anda boleh memuat-turun fail APK untuk WhatsApp 2.11.498 (atau terkini), dan memasangnya pada peranti anda.


Log Masuk Ke WhatsApp Web

Sebaik sahaja telah memuat-turun dan mengemaskini aplikasi anda, anda perlulah membuka pelayar web Chrome, dan seterusnya membuka laman WhatsApp Web.

whatsapp-web-00

Anda akan dipaparkan dengan sebuah kod QR khusus, dimana anda perlu mengimbasnya. Untuk mengimbas, buka aplikasi WhatsApp anda, dan pilih menu WhatsApp Web. Imbas kod QR berkenaan, dan anda akan log masuk ke perkhidmatan WhatsApp untuk digunakan melalui web.

Untuk Android : Tekan pada tiga titik pada penjuru kanan atas, dan pilih menu WhatsApp Web. Ia akan membuka aplikasi kamera untuk mula mengimbas kod QR.
Untuk BlackBerry 10 : Pilih halaman Chat, tatal dari atas skrin ke bawah, dan pilih WhatsApp Web. Ia akan mengaktifkan kamera untuk mengimbas kod QR.
Untuk Windows Phone : Pergi ke menu, dan pilih WhatsApp Web, seterusnya imbas kod QR menggunakan aplikasi kamera yang diaktifkan.

WhatsApp Web Android

Selain daripada menggunakan WhatsApp Web di pelayar web, anda juga turut boleh memantau penggunaan WhatsApp melalui aplikasi yang sama. Pada aplikasi yang sama, sekiranya anda memilih menu WhatsApp Web untuk kali kedua atau seterusnya, anda akan dipaparkan dengan aktiviti terakhir anda atau aktiviti anda yang masih aktif berhubung dengan pelayar web, sekaligus memudahkan lagi anda menguruskan penggunaan WhatsApp anda pada komputer.

Menggunakan WhatsApp Web

WhatsApp Web

WhatsApp Web dilihat berhubung ke peranti anda menggunakan sokongan internet, dan mungkin memerlukan anda berhubung ke rangkaian WiFi untuk mengurangkan penggunaan data olehnya. Menggunakan WhatsApp Web, anda boleh melihat teks-teks yang telah sedia tersimpan pada peranti anda di WhatsApp, selain turut memuat-turun gambar yang dihantar rakan-rakan, dan mengakses tetingkap bualan rakan-rakan.

Anda juga turut boleh memulakan perbualan baru dengan hanya membuat carian nama, dan mula menghantar teks kepada rakan anda. Daripada percubaan kami, sebaik sahaja anda log masuk ke WhatsApp Web, anda tidak perlu mengimbas kod QR buat kali seterusnya, melainkan anda memilih untuk log keluar.

Mengaktifkan Notifikasi

Pada Chrome, ia sedia menyokong notifikasi, dan anda boleh menggunakan fungsi ini bersama-sama WhatsApp Web. Untuknya, anda perlu melihat kepada sebuah kotak info yang dipaparkan pada bahagian paling atas tetingkap perbualan, dan klik padanya. Anda seterusnya boleh memilih untuk mengaktifkan hanya bunyi sahaja, ataupun turut memaparkan notifikasi pada komputer anda.

Log Keluar Daripada WhatsApp Web

WhatsApp Web Logout

Pihak WhatsApp dilihat ingin memudahkan proses menggunakannya, dan tidak log keluar apabila anda memadamkan tab WhatsApp Web pada pelayar web. Anda boleh log keluar daripada peranti ataupun terus pada halaman web berkenaan, dengan klik pada tiga titik, seterusnya memilih Log Out.

Jika terlupa, anda masih boleh lakukannya pada peranti mudah-alih anda, dimana anda perlu ke menu, dan pilih WhatsApp Web – seperti pada awalnya anda memulakan kamera untuk mengimbas kod QR. Padanya, ia akan memaparkan sesi yang aktif, dan anda boleh pilih log keluar daripada semua dengan klik padanya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd