Xiaomi Malaysia hari ini melalui laman Facebook rasmi mengumumkan yang mana mereka akan meningkatkan harga jualan powerbank berkapasiti 10400mAh dan juga 5200mAh bermula 28 Januari ini.
Powerbank berkapasiti 10400mAh akan dijual pada harga RM49 (sebelum ini RM36) sementara berkapasiti 5200mAh akan dijual pada harga RM34 (sebelum ini RM25).
Pada masa yang sama, pihak Xiaomi turut mengumumkan yang mana mereka akan memulakan jualan pertama di Malaysia pada 28 Januari 2015 ini, dimana mereka akan menawarkan Redmi Note 4G, serta pelbagai aksesori secara berasingan – termasuk Mi Band.
Xiaomi mengatakan mereka akan menjualnya dalam bentuk jualan terbuka – sementara stok masih ada pada mereka.
Daripada maklumbalas pengguna yang diterima daripada Facebook, ramai pengguna dilihat boleh memahami peningkatan harga disebabkan oleh kurang kukuhnya ringgit Malaysia – namun ramai yang tidak berpuas hati dengan penawaran stok yang sentiasa cepat habis dan sukar untuk mendapatkannya.
Apa pun, bagi anda yang sebelum ini ingin mendapatkan Mi Band secara berasingan, mungkin boleh nantikan 28 Januari ini untuk mendapatkan gelang tangan pintar berharga RM59 tersebut.