Cari @ Amanz

Tetikus Microsoft 1850 ialah tetikus yang direka khas untuk memudahkannya dibawa kemana-mana. Saiznya sangat kompak dengan ukuran 100 x58.1 milimeter. Sebagai pengguna tetikus yang lebih besar saya merasakan saiz 1850 terlalu kecil untuk digunakan oleh seorang lelaki dewasa. Tetikus ini seperti papan kekunci Microsoft All in One Media yang turut kami ulas menggunakan teknologi frekuensi radio. Dongle penerima penerima isyarat radionya adalah serupa. Sungguhpun begitu jika anda memiliki 1850 dan All In One Media, anda tidak boleh berkongsi dongle yang sama. Kedua-duanya dongle harus digunakan berasingan. Dongle yang digunakan adalah dari jenis nano yang boleh disimpan bersebelahan ruang bateri tetikus ini sendiri. Bercakap tentang bateri, 1850 menggunakan bateri bersaiz AA yang dikatakan mampu bertahan selama 6 bulan sebelum perlu digantikan.

REKAAN DAN PENGGUNAAN

Seperti yang kami katakan tadi saiz tetikus ini adalah amat kecil. Kepada mereka yang mempunyai telapak tangan yang besar menggunakannya adalah sedikit sukar. Sungguhpun begitu rekaan tetikus ini adalah simetri dan sesuai digunakan oleh mereka yang menggunakan tangan kanan ataupun kidal. Keseluruhan tubuh tetikus diperbuat daripada plastik dan ini membuatkannya agak licin. Saya lebih gemarkan tetikus dengan permukaan atas bergetah bagi memudahkan genggaman. Saiz 1850 yang kecil dan permukaan yang licin sedikit sebanyak menyukarkannya untuk digunakan. Hanya terdapat dua butang dan satu roda tetikus untuk tatalan. Tiada butang tambahan seperti butang mengubah kepekaan tetikus disertakan. Ianya memang sebuah tetikus kelas permulaan dengan fungsi paling asas. Tahap kepekaan tetikus ditetapkan pada 1000 DPI dengan jarak penggunaan maksimum sejauh 5 meter. Ianya sebuah tetikus yang direka untuk melakukan kerja-kerja harian dan bukanlah untuk permainan komputer. Sebagai tetikus kegunaan harian kami rasakan kepekaan 1000 DPI adalah lebih dari memandai. Dua butang tetikus yang digunakan juga berfungsi dengan baik.

1850M2280016

PERISIAN

1850Seperti yang saya katakan pada awal ulasan, sungguhpun tetikus ini menggunakan teknologi frekuensi radio yang sama dengan kekunci All In One Media, dua dongle berbeza perlu disambungkan kepada PC. Alangkah baiknya jika ada perisian khas yang membolehkan ini dilakukan. Perisian Mouse and Keyboard Center yang kami gunakan untuk kekunci All In One Media juga nampaknya tidak boleh digunakan dengan tetikus 1850. Sedikit aneh sebuah tetikus Microsoft tidak disokong oleh program yang dihasilkan sendiri oleh Microsoft. Jika anda mahu merubah kelajuan kursor, tatalan roda tetikus dan kelajuan klik anda harus melakukannya menggunakan program default dari Control Panel Windows.

KESIMPULAN

Tetikus Microsoft 1850 ialah tetikus mudah alih kompak kelas permulaan. Tiada apa-apa yang istimewa tentang rekaan ataupun fungsi tambahan. Jika anda mahukan sebuah tetikus dengan fungsi paling asas ianya memandai sungguhpun kami merasakan saiznya adalah terlalu kecil untuk kegunaan seorang lelaki dewasa. Gabungan saiz kecil dan bahan binaan plastik yang licin membuatkannya tidak berapa mesra pengguna. Mungkin lebih sesuai digunakan oleh kanak-kanak. Secara keseluruhan Ia berfungsi dengan baik dengan fungsi plug and play. Tiada driver perlu dimuat turun sebelum ia boleh digunakan sepenuhnya. Jika anda memerlukan tetikus bersaiz kecil yang mampu berfungsi dengan baik Microsoft 1850 ialah pilihan yang baik pada harga jualan RM 49 sebuah.  Tetapi jika anda seperti saya dan mahukan lebih banyak fungsi,saiz yang lebih selesa dan rekaan lebih baik kami sarankan anda mencari tetikus lain.

1850M2280018

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan kompak mudah dibawa kemana-mana
  • Hanya memerlukan satu bateri
  • Harga mampu milik
KONTRA dan Kekurangan
  • Saiz yang terlalu kecil untuk kegunaan individu bersaiz normal
  • Permukaan tetikus yang terlalu licin
  • Tiada sokongan perisian yang baik

Skor-Amanz--18502

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd