Kerap kali apabila menonton berita akan terlihat insiden kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal. Kenderaan beroda dua ini sering menjadi mangsa kerana titik buta pada kenderaan empat roda dan penunggang sendiri yang memandu seperti tidak sabar mahu bertemu ilahi. Apabila kemalangan berlaku ada pula golongan yang merompak mangsa mengakibatkan identiti mangsa tidak dapat dikenalpasti dengan segera. Oleh iti alat Ridesmate ini dicipta oleh David Coleman yang berasal dari United Kingdom. Beliau adalah seorang peminat sukan lasak yang gemar menunggang seorang diri. Beliau menyedari jika berlaku kemalangan beliau mungkin menghadapi kesukaran untuk melakukan panggilan kecemasan.
Ridersmate dipasang pada pinggang penunggang dan seutas wayar lagi disambung kepada motosikal. Apabila berlaku kemalangan penunggang akan tercampak dari motosikal dan wayar ini akan terputus. Ridersmate secara automatik akan menghantar khidmat pesanan ringkas kepada nombor yang ditetapkan sendiri oleh penunggang. Selain memberikan SMS kecemasan ia akan menghantar lokasi GPS kejadian yang diintegrasikan dengan Google Maps serta kelajuan ketika kemalangan berlaku. Terdapat juga butang kecemasan pada sisi RIdersmate yang membolehkan penunggang menghantar SMS kecemasan sekiranya mereka tidak tercampak dari motosikal. Jika wayar tertanggal secara tidak sengaja, sambungkan semula wayar dan SMS kedua dihantar untuk mengabaikan SMS kecemasan yang dihantar sebelum itu. Ridersmate juga sesuai digunakan penunggang basikal dan juga kuda. David Coleman sedang mengumpul dana dan bercadang menjual alat ini pada harga £199 sebuah. Harga yang agak mahal tetapi di dalam situasi kecemasan ianya mungkin dapat menyelamatkan nyawa anda sekiranya terlibat dalam kemalangan di kawasan terpencil. Ridersmate hanya memerlukan isyarat GPRS untuk berfungsi dan pastinya sesuai digunakan di negara kita.